Headline: Penawar rindu Siti
Publication: BH
Date of publication: Sep 6, 2012
Section heading: Hip
Page number: 001


Kata persetujuan sudah diberi dan lagu juga sudah tersedia. Kini hanya menunggu kontrak ditandatangani. Jika perancangan berjalan lancar, album projek khas Datuk Siti Nurhaliza dengan syarikat rakaman Indonesia, Virgo, akan berada di pasaran seberang selewatlewatnya pada hujung tahun.

Bercakap kepada HIP menerusi telefon, semalam, Siti begitu teruja apabila bercakap mengenai buah tangan terbaru kerana secara tidak langsung ia menjadi penawar rindu buat peminat di republik berkenaan kepadanya.

"Sebaik saja berumah tangga dan terbabit dalam perniagaan SimplySiti, ramai peminat di Indonesia sangka Siti tidak lagi aktif menyanyi. Siti sering mendapat pertanyaan sebegitu daripada peminat di sana. Jadi, dengan kehadiran album ini, Siti harap mereka akan gembira dan bersedia menerima kehadirannya sebagai pengubat kerinduan," kata Siti mengenai album yang dibiayai sepenuhnya oleh syarikat rakaman berkenaan.

Sempena kehadiran album itu nanti, Siti juga akan terbabit dengan siri promosi termasuk mengadakan konsert untuk pemujanya di negara berkenaan.

"Konsert ialah antara perkara yang tercatat dalam kontrak, selain menghadiri sesi fotografi serta sidang media mempromosikan album berkenaan.

Siti memang tak sabar untuk kembali mewarnai dunia nyanyian di sana," katanya yang akan masuk ke studio pada bilabila masa saja.

Album serumpun

Sambil menyifatkannya sebagai karya penuh bermakna, Siti, 33, berkata, album yang belum berjudul itu ialah produk serumpun. Ia bukan saja menampilkan komposer Indonesia, tetapi turut mendapat kerjasama daripada komposer tanah air.

"Setakat ini ada beberapa komposer Indonesia yang sudah memberikan lagunya kepada Siti. Antaranya bekas vokalis kumpulan Kerispatih, Sammy Simorangkir, dan juga Dewiq. Sebelum ini pun Siti pernah bekerjasama dengan Dewiq. Siti juga ada minta lagu daripada Melly.

"Selain itu, Siti turut menyumbangkan sebuah lagu dalam album ini. Ia sudah pun siap dan memandangkan Siti mencipta lagu berentak moderate itu menerusi humming, Siti serahkan kepada Aubrey Suwito untuk membuat susunan muziknya," kata Siti yang muncul dengan single berjudul Muara Hati, lagu duetnya bersama Hafiz.

Meskipun pernah melahirkan hasrat menghasilkan album solo selepas pembikinan album Inggerisnya, sekitar tahun lalu, hasrat itu terpaksa ditangguhkan seketika.

"Memandangkan projek album khas ini sudah berjalan, jadi nampak gayanya Siti terpaksa mendahulukan album ini. Lagipun album ini juga bakal dipasarkan di Malaysia. Buat masa ini kami masih mencari pengedar sesuai. Siti tak mahu nanti, jika Siti teruskan juga penghasilan album solo di Malaysia, peminat akan keliru," jelasnya.

Konsert di Kuantan

Sementara itu, biarpun konsert Siti di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), yang dijadualkan berlangsung tahun depan masih samar-samar, khabarnya sebuah lagi konsert membabitkannya akan dianjurkan November ini. Jika tiada aral melintang, kata Siti, konsert itu akan diadakan di Kuantan, Pahang.

"Konsert selama sejam itu akan menyaksikan Siti menyampaikan lagu popular Siti. Maklumat lengkap mengenai konsert itu akan dijelaskan dalam sidang media khas nanti," katanya.





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy