Headline: Kikis mentaliti
Publication: MA
Date of publication: May 6, 2012
Section heading: Selebriti
Page number: 024
Byline / Author: Oleh Adam Salleh


JIKA Datuk Shake popular dengan lagu Dunia Tanpa Sempadan, kombinasi Datuk Siti Nurhaliza dengan Nurul Zahid kini muncul dengan lagu Cinta Tanpa Sempadan.

Lagu ciptaan Helen Yap dan lirik Budi Hekayat itu sungguh istimewa kerana ia bukan saja memperlihatkan seorang penghibur tersohor berkolaborasi dengan selebriti baru bertatih, tetapi nilai keikhlasan yang tercerna dalam diri penggiat seni untuk menghasilkan lagu atas dasar peri kemanusiaan.

Cinta Tanpa Sempadan yang menjalani rakaman di studio NAR Record di ibu kota, menjurus pada projek amal bakti Platun Seni Wataniah bagi mengisi dana Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim) yang kini dikenali sebagai Keluarga Besar Norlina Alawi Bhd (KBNAB).

Ketika ditemui, Nurul selaku penyelaras projek bersama Pengerusi KBNAB dan Yang Dipertua Pernim, Norlina Alawi mengharapkan Cinta Tanpa Sempadan dapat mengikis mentaliti masyarakat kita supaya turut menyumbang dana dan tidak memandang negatif atau jijik pada anak menghidap HIV/Aids.

"Tidak semua anak yang lahir di dunia bernasib baik seperti anak kita. Bayangkan bagi anak yang tiada status, termasuk yang menghidap HIV/AIDS, masa depan mereka bagai silau di sebalik sinar.

"Berdetik kesedaran inilah, timbul hasrat Norlina yang saya panggil mama untuk berkolaborasi dengan Platun Seni menghasilkan lagu bagi kempen program Jelajah Cinta Tanpa Sempadan bermula bulan ini," katanya.

Menyingkap latar, Nurul pernah muncul single Dari Kejauhan ciptaan Yassin pada 2004. Bekas pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM) musim 2005 dan pengacara Inspirasi Ramadan (13 episod) di RTM ini menyepi daripada dunia hiburan kerana memberi tumpuan pada bisnes dan keluarga.

Bagi Nurul, kemunculannya semula bukan kemaruk glamor, tetapi sejajar dengan kematangan usia, dia mahu menunduk hatinya untuk lebih bertanggungjawab terhadap insan kurang bernasib baik.

Bagaimanapun, bagi merealisasikan impian itu, akui Nurul, debaran tetap ada memikirkan apakah Siti Nurhaliza sanggup mencurah keringat untuk program amal, yang pastinya tiada membawa keuntungan daripada segi pendapatan kepadanya.

"Walaupun saya dan Siti anggota Platun Seni, tidak bermakna saya mudah mengeksploitasi situasi. Biar program murni ini dijalani secara profesional berdetik daripada ketulusan hati. Lalu pada Mac lalu, saya tanya Siti apakah dia bersedia menyumbang suara.

"Siti cuma beri tempoh. Maklum saja showbiznya padat, tetapi hati saya berdetik Siti tidak akan menolak. Selang seminggu, Siti beri `green light', baru proses rakaman bermula. Saya sempat merakam suara secara duet dengan Siti sehari saja. Kemudian kami masuk studio berasingan," katanya.

Bagi Helen, untuk rakaman lagu itu, Siti mengambil masa tidak sampai sejam, manakala Nurul dua jam setengah. Sementara Norlina berkata, pra Jelajah Cinta Tanpa Sempadan bermula bulan lalu di Seremban dan sekitar Lembah Klang.

"Melalui penerbitan lagu ini, kami berhasrat menjelajah ke seluruh Semenanjung, selain masuk ke Felda dan universiti. Saya mahu meningkatkan kesedaran masyarakat kita membantu menerusi konsep satu keluarga dapat mengambil satu anak angkat di kalangan yang kurang bernasib baik," katanya.

Single Cinta Tanpa Sempadan dijual pada harga RM9.90, akan dilancarkan Menteri Pertahanan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi pada hari ini (6 Mei) di Dewan Seroja, Mindef.





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy