Headline: Sedih nasib Adik Dirang
Publication: BH
Date of publication: Mar 17, 2012
Section heading: Inspirasi
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Siti Nurhaliza


ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera buat semua pembaca Berita Harian. Semoga hujung minggu anda kali ini akan memberikan makna yang baik dalam kehidupan anda semua.

Sepanjang minggu ini, kita dikejutkan dengan banyak berita yang menyedihkan di dada akhbar. Sesuatu yang paling menyayat hati ialah mengenai pembunuhan kejam adik Dirang yang Siti rasa mendapat perhatian dan menyayat hati kita semua. Ia bukan hal remeh yang boleh kita pandang sebelah mata di mana-mana saja kita berdepan dengan musibah dan bahaya.

Apa yang berlaku kepada Adik Dirang, anak kecil yang tidak berdosa itu hendaknya membuka mata dan hati kita semua. Ada kala sesuatu kejadian yang menimpa itu kita ibaratkan malang tak berbau. Memang malang tidak berbau tetapi semua pihak terutamanya ibu bapa dan penjaga harus menitikberatkan sikap bertanggungjawab atau mungkin lebih daripada biasa kerana sebarang kemungkinan boleh saja terjadi.

Siti mengambil kesempatan di sini untuk menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga adik Dirang, semoga roh-Nya aman dan tenang di syurga. Semoga pembunuh adik Dirang akan segera dibawa ke muka pengadilan.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat penyayang, sesungguhnya perkara seumpama ini tidak boleh terjadi. Jadikan amalan hidup sihat tanpa hasad dengki ataupun minda yang positif dalam kita menjalani kehidupan.

Baiklah, mengenai kerjaya Siti pula, sepanjang beberapa minggu ini, Siti kembali sibuk menjalankan promosi album All Your Love dengan memperkenalkan single yang kedua iaitu Remember You. Single ini adalah lagu duet di antara Siti dengan penyanyi antarabangsa, Sean Kingston. Selain promosi di radio, Siti juga turun padang bertemu peminat di kedai menjual album, minggu lalu di The Curve dan semalam di One Utama.

Siti berasa seronok kerana album ini sudah mencapai jualan cakera padat sebanyak 40,000 unit dan jualan untuk `download' sebanyak 30,000 unit. Ini adalah satu permulaan yang baik kerana album ini diterima peminat Siti.

Selain itu, Siti juga ingin berkongsi kegembiraan bersama anda di mana Simply Siti sudah mengeluarkan minyak wangi untuk penggunanya.

Ia adalah inovasi pertama dari SimplySiti yang menggabungkan sains dan seni dari Perancis memberikan anda rahsia kekal cantik. Bukan hanya sekadar wangian, juga merasa lebih bagus dan kelihatan bagus dalam masa yang sama.

Kepada adik-adik yang sedang bercuti sekolah dan bakal kembali ke sekolah Isnin ini, Kak Siti harap adik-adik akan menyiapkan semua kerja sekolah yang diberikan guru. Semoga cuti adik-adik selama seminggu ini memberi manfaat dan melakukan perkara yang baik.

Sekian saja catatan Siti kali ini. Jumpa lagi!

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy