Headline: Jangan Ditanya, Sirih Pinang taruhan baru Siti
Publication: BM
Date of publication: Jun 24, 2007
Section heading: Bintang Popular
Page number: 17
Byline / Author: Oleh Raja Nurfatimah Mawar


SELEPAS populariti lagu Joget Cinta Sakti nyanyian Haziq dan Rosma serta Maharani (Ramlah Ram) melonjak sekali gus mendapat tempat di hati pendengar, ia menyuntik semangat kepada syarikat rakaman Suria Records (SRC) untuk menerbitkan pula album kompilasi bercorak pop tradisional.

Kalau sebelum ini SRC memasarkan Joget Lambak, terbaru, mereka mempertaruhkan pula Siti Nurhaliza Klasik.

Penerbitan album Datuk Siti itu nyata satu langkah yang positif kerana ia mampu memberikan keseimbangan kepada genre lagu pop dan import yang terus membanjiri pasaran muzik tempatan.

Sebagai sebuah album kompilasi, Siti Nurhaliza Klasik memuatkan banyak lagu merdu yang dipetik daripada album Siti yang terdahulu iaitu Cindai, Seri Balas, Sahmura dan Sanggar Mustika. Lagu terbabit ialah Seri Sarawak, Damak, Seri Mersing, Musalmah Manis, Bisikan Hati, Bunga Melor, Pulau Pisang, Lela Manja, Es Lilin, Pawana Sampaikan Salam, Keroncong Si Endang Endong serta Syair Kamalia.

Jurucakap SRC berkata, bagi menambahkan lagi rencah tarikan, dua lagu yang belum pernah dimuatkan dalam mana-mana album Siti iaitu Jangan Ditanya dan Sirih Pinang juga dimuatkan.

"Album berkenaan diterbitkan bagi memartabatkan lagi lagu Melayu klasik dan pop tradisional tidak kira ciptaan baru mahupun lama agar diterima semua lapisan masyarakat. Difahamkan juga, album berkenaan turut disasarkan bagi menyemarakkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia 2007," katanya.

Siti Nurhaliza Klasik mula berada di pasaran tempatan sejak 11 Jun lalu dan dijual pada harga RM29.90 (CD) dan 16.80 (kaset).

Sementara itu, album pop terbaru Siti masih sedang dalam pembikinan dan dijangka menemui peminat penghujung tahun ini. Antara kejayaan terbaru Siti ialah menerusi Anugerah Planet Muzik (APM) 2007, baru-baru ini apabila Siti meraih trofi Artis Wanita Paling Popular, Artis Wanita Terbaik dan Lagu Terbaik - Biarlah Rahsia.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy