Headline: Kagumi Foster
Publication: BH
Date of publication: Oct 29, 2011
Section heading: Inspirasi
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Siti Nurhaliza


ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera buat semua pembaca Berita Harian, semoga hari yang dijalani akan memberikan kebahagiaan dan kejayaan buat kita semua.

Banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian dan tidak kurang juga kerjaya masing-masing, Siti amat berbangga kerana pada hari ini, rakyat Malaysia mampu bangkit dan bersaing dalam pelbagai bidang.

Ini bukan saja bertujuan untuk mengukuhkan lagi ekonomi keluarga malah menyumbang kepada negara. Begitu juga dengan golongan wanita yang semakin ramai menceburi pelbagai lapangan untuk menjana kemajuan diri dan masa depan mereka.

Siti amat bersyukur kerana baru-baru ini, produk SimplySiti mendapat anugerah yang diberikan oleh UDC Business Award 2011 untuk UDC-Upcoming Beauty Product Of The Year.

Sebelum ini produk SimplySiti juga pernah meraih anugerah The Best Halal Lauch daripada Watson's Health, Wellness dan Beauty Award; SME's Woman Of The Year Award 2010 daripada SME's Tun Dr Siti Hasmah; The Best Most Promising Brand 2010 daripada The Brandlaureate- SMEs Chapter Awards 2010 dan The Best Water-Proof Mascara daripada Anugerah Kecantikan Untukmu Cosmopolitan 2010.

SimplySiti juga pernah meraih anugerah The Best Halal BB-Cream daripada Watson's Health, Wellness & Beauty Award 2010; The Best Coverage Face Powder by Watson's Health, Wellness & Beauty Award 2010; The Best Exclusive Brand Lauch daripada Watson's Health, Wellness & Beauty Award 2010 dan The Best Halal Product Award 2010 daripada The Halal Journal Awards.

Inilah yang Siti katakan dengan berusaha, tiada apa yang mustahil. Produk ini baru saja menjangkau usia tidak sampai dua tahun tetapi Siti dan pasukan kerja SimplySiti tidak pernah berputus asa untuk bersaing dengan pelbagai jenis produk di luar sana.

Bagi Siti, ini adalah persaingan yang sihat dalam perniagaan dan tentunya dari semasa ke semasa kami akan terus menghasilkan sesuatu yang terbaik dalam bidang kecantikan ini.

Baiklah, itu mengenai produk kecantikan Siti dan tentunya Siti amat teruja untuk bercerita mengenai Konsert David Foster yang sempat Siti tonton minggu lalu. Siti memang bertekad untuk menontonnya kerana mengagumi lagu-lagu ciptaan komposer ternama ini.

Siti akui, ada kalanya memang teruja apabila berdepan dengan selebriti yang Siti idolakan hasil kerja mereka. Siti akui sewaktu menonton Konsert Celine Dion di Las Vegas, Siti juga seperti peminat-peminat yang lain, berasa sangat tergamam apabila penyanyi kesayangan kita ada di depan mata.

Malah Siti tidak malu untuk mengakui, Siti menitiskan air mata melihat konsert itu kerana hasrat untuk bertemu penyanyi kesayangan tercapai.

Begitu juga dengan Konsert David Foster ini, Siti menghayati persembahan beliau dengan rakan-rakan artis yang diundang ke pentas. Bagi Siti, David adalah komposer yang amat menghargai bakat yang ada pada seseorang artis.

Lagu beliau menjadi hit kerana beliau tahu bagaimana untuk mencipta lagu kepada artis-artis yang beliau bekerjasama. David adalah komposer yang tahu nada atau ciri-ciri vokal yang ada pada seseorang artis. Justeru, setiap lagu yang terhasil akan menepati kemampuan setiap artis dan tentunya menjadi siulan ramai.

Siti juga tidak mahu ketinggalan untuk bercakap mengenai Anugerah Industri Muzik yang akan berlangsung pada 12 November nanti. Siti akui peminat juga maklum bahawa inilah julung kalinya Siti tidak bertanding dalam anugerah ini sejak mula bergelar artis.

Jangan salah faham kerana Siti tidak menyertainya kali ini kerana Siti tidak ada album atau produk terbaru dalam jangkamasa atau syarat yang ditetapkan.

Siti lihat nama-nama yang mendominasi pencalonan AIM kali ini ramai di kalangan artis muda dan baru. Ini perkembangan yang baik kerana industri muzik semakin hari semakin banyak melahirkan nama baru dan tentu genre muzik dapat diperkembangkan.

Namun Siti amat berharap agar semua pihak menggunakan platform AIM ini dengan sebaiknya kerana ia adalah satu pentas anugerah yang berprestij. Doa Siti agar perjalanan majlis ini akan lancar, artis akan bersaing secara sihat dan mendapat pengalaman untuk terus berkarya.

Bagi Siti, AIM amat besar dan pelbagai anugerah Siti peroleh. Jika dulu, Siti amat berhati-hati dalam setiap penghasilan album kerana menitikberatkan kualitinya dan AIM selalu menjadi ilham. Alhamdulillah, dalam banyak barisan anugerah yang Siti peroleh, antara anugerah yang terbanyak adalah AIM. Semoga ia terus menjadi semangat kepada ramai artis di luar sana untuk berjuang dalam bidang ini.

Sekian saja bicara Siti pada minggu ini. Moga kita akan bersua lagi minggu depan. Salam sayang.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy