Headline: Selagi ada semangat
Publication: BH
Date of publication: Jul 14, 2011
Section heading: Hip
Page number: 005
Byline / Author: Oleh Hanisah Selamat


"BIARPUN sudah berbelas tahun menyanyi, saya sekadar mengalunkan lagu daripada hati sedangkan saya tidak boleh membaca nota muzik. Pengetahuan secara teori ini juga penting untuk masa depan dalam kerjaya muzik namun antara saya serahkan kepada UiTM untuk menilai dulu kelayakan saya."

Itulah antara pengakuan daripada Datuk Siti Nurhaliza mengapa dia berhasrat untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, selagi dirinya mempunyai semangat dan kemahuan, iltizam untuk belajar tidak pernah pudar tambahan pula ia sangat berguna untuk masa depannya kelak.

"Saya sentiasa menyimpan impian untuk menggenggam ijazah, khususnya dalam jurusan muzik walaupun sudah 16 tahun meninggalkan alam persekolahan," katanya kepada media pada Malam Gala SimplySiti di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah alam, baru-baru ini.

Siti berkata, dia sudah berbincang dengan pengurusan UiTM, Shah Alam untuk membantu impiannya berjaya dalam pelajaran akan menjadi kenyataan.

Begitupun, akuinya perancangan ke arah itu bukan dalam tahun ini sebaliknya melihat kesesuaian waktu memandangkan buat masa jadual kerjaya seni masih terlalu padat termasuk menjayakan konsert bergerak di Indonesia.

"Segala-galanya masih pada peringkat perbincangan kerana pelbagai perkara perlu diambil kira," katanya lagi.

Akuinya lagi, semangat serta kreativiti barisan pelajar yang mencurahkan idea dan keringat demi menyempurnakan sambutan ulang tahun pertama SimplySiti dan Tabung Mengubah anak Bangsa uiTM semakin membakar semangatnya menuntut ilmu. Tambahan pula penyanyi ini melihat UiTM antara pusat pengajian tinggi yang menjadi perhatiannya apabila melahirkan graduan berkaliber.

Hasrat penghibur tersohor itu juga sudah diajukan naib Canselor UiTM, Datuk prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar kepada Dekan fakulti berkaitan tetapi seperti dijelaskan Siti, pihaknya perlu meneliti beberapa perkara terlebih dulu.

"Kami berbesar hati apabila penyanyi popular seperti Siti Nurhaliza menyatakan hasrat melanjutkan pelajaran. Secara tidak langsung ia turut merangsang peminatnya terutama golongan muda lain mengikut jejak langkahnya yang tetap bersemangat menggenggam diploma atau ijazah.

"Bagi kami semangat yang ditonjolkan anak seni seperti Datuk Siti Nurhaliza ini membuktikan usaha serta semangat mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tidak terhad kepada tahap usia," katanya mengenai ikon dana amal itu.

Album Inggeris pada September depan

DALAM kesibukan merencana jadual kerjaya selain melakukan persediaan sebelum jelajah ke Indonesia bulan ini, Siti Nurhaliza turut berjinak-jinak dengan arena permotoran yang menjadi hobi barunya bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Mengakui kecenderungannya menunggang motosikal sudah bercambah sejak zaman remaja lagi namun ia semakin bersemarak sekembalinya pasangan itu daripada percutian di Capetown, Afrika Selatan, Mei lalu.

"Sejak kecil arwah ayah menggunakan motosikal sebagai kenderaan menghantar dan mengambil kami di sekolah. Apabila menginjak remaja saya turut belajar menunggang malah boleh dikatakan di kampung memang motosikal menjadi pengangkutan utama.

"Hobi ini bukan hanya menyeronokkan malah memberi banyak pengalaman baru," katanya.

Mengenai album Inggeris sulungnya, Siti memaklumkan segala proses rakaman sudah disempurnakan lebih sebulan lalu, cuma menanti untuk dilancarkan pada 9 September ini.

Sebagai menghangatkan kemunculan buah tangannya itu, single Falling In Love bakal diperdengarkan dulu kepada khalayak pendengar sebelum album penuh diedarkan di pasaran.

"Album ini diterbitkan sepenuhnya oleh komposer dan penyanyi hip hop popular dari Australia, Bryan B dengan berkonsepkan pop moden. ia bakal memuatkan 10 dendangan.

"Saya sendiri teruja menanti 9 September nanti. Kalau boleh memang mahu mengeluarkannya secepat mungkin, cuma kami perlu menunggu masa yang paling sesuai. rasanya lebih elok ia diedarkan selepas hari raya," katanya.

Berkongsi perkembangan SimplySiti, usahawan jelita itu mengakui dalam tempoh setahun banyak peningkatan ditonjolkan membuatkan dia berbangga dengan hasil usaha seluruh pasukan produk kecantikan dan penjagaan wajah itu.

"Kini produk kami boleh didapati di lebih 300 premis kedai selain bakal diedarkan ke indonesia dan Singapura. Buat masa ini SimplySiti sudah memasuki pasaran di Brunei.

"Pada harga serta kualiti produk antarabangsa, ia dipercayai ramai pengguna membuatkan kami semakin bersemangat menjalankan r&D selain menghasilkan lebih banyak produk baru," katanya lagi yang turut memperkenalkan kit mekap terbaru sempena Syawal.

Pada konsert kira-kira dua jam yang turut mengundang rakan artis lain berkongsi pentas dengannya seperti Amy Search, Ana Raffali dan Aizat, Siti buat pertama kali menyampaikan single terbaru daripada album Inggerisnya berjudul Falling In Love.

Gaya lincah serta kerancakan dendangan penuh rancak itu mengundang sorakan kira-kira 5,000 penonton yang memenuhi Dewan agung Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam.





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy