Headline: Iktibar dari tanah runtuh
Publication: BH
Date of publication: May 28, 2011
Section heading: Inspirasi
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Siti Nurhaliza Taruddin


ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera buat semua pembaca akhbar Berita Harian.

Doa Siti agar pada hujung minggu ini, kita semua berada dalam keadaan yang baik bersama keluarga tersayang. Cuti sekolah juga sudah bermula, inilah waktunya ibu bapa dapat meluangkan lebih masa bersama anak-anak. Apakah agaknya perancangan anda bersama keluarga pada musim cuti ini? Moga cuti sekolah ini akan memberi manfaat kepada anda sekeluarga.

Siti pasti rumah ibu Siti di Kuala Lipis akan riuh rendah pada musim cuti ini. Lazimnya anak-anak saudara Siti akan pulang ke kampung dan berkumpul beramai-ramai. Keadaan seumpama ini memang Siti sendiri rindukan dan selalunya tidak akan melepaskan peluang bersama-sama mereka.

Bercerita tentang cuti sekolah dan anak saudara ini, Siti teringat dengan kejadian yang begitu menyayat hati iaitu peristiwa tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa pada 21 Mei yang lalu. Berikutan tragedi itu, 16 kanak-kanak maut dan sembilan orang lagi terselamat namun dalam pelbagai kondisi. Ada di antara mereka yang cedera dan tak kurang juga yang terpaksa dipotong kakinya. Kejadian seumpama ini tentu membuatkan kita semua bersedih hati serta banyak pengajaran yang boleh diperoleh melaluinya.

Kita tidak boleh menuding jari saja kerana setiap pihak bertanggungjawab atas apa jua yang terjadi. Kita hanya akan dikejutkan bila satu-satu hal berlaku tanpa mahu menoleh ke belakang untuk menilai dan melihat sumba- ngan dan persediaan untuk menangani sesuatu sebelum terjadinya sesuatu.

Kejadian tanah runtuh ini bukanlah perkara baru, beberapa tempat lain sebelum ini turut mengalami tragedi ini. Sebagai negara yang prihatin, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk memastikan hal seumpama ini tidak akan berulang. Memang kita tidak boleh melawan takdir tetapi perkara-perkara asas haruslah dikenal pasti agar sesuatu yang tak diingini boleh dicegah.

Tidak kiralah struktur tanah atau bangunan dan sebagainya, perlulah ada pemeriksaan berkala atau penyelenggaraan awal hendaklah dibuat oleh pihak berkuasa atau berkenaan. Ini adalah untuk memastikan setiap kawasan yang diduduki dalam keadaan selamat dan jika ada risiko, ia boleh dipantau lebih awal.

Siti juga terharu dengan keprihatinan ramai pihak yang membantu mangsa tragedi dan bergegas ke tempat kejadian. Pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan juga disalurkan. Alhamdulillah, Siti sendiri dan bekas sekolah Siti iaitu warga Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Lipis, Pahang juga turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa menerusi Tabung Bencana NSTP-Media Prima. Semoga dengan sumbangan kecil yang dibuat ini akan memberikan sinar semula kepada mangsa.

Siti turut mendoakan agar pihak pengurusan dan adik-adik akan terus diberikan kekuatan untuk meneruskan hidup dan tabah mendepani musibah yang tak diduga ini. Kita panjatkan juga doa untuk kesejahteraan mereka yang terkorban dalam keadaan ini.

Baiklah, Siti juga ingin bercerita serba sedikit mengenai kerjaya Siti. Rabu lalu, Siti sempat hadir ke majlis pelancaran drama bersiri terbaru terbitan Global Station berjudul Suria Di Cordoba. Siti turut menyampaikan lagu tema hasil ciptaan Audi Mok/Omar K dan liriknya oleh Rozie Rashid.

Lagu berjudul Astana Cinta baru saja Siti rakamkan beberapa minggu yang lalu. Semoga lagu ini juga akan dapat mengubati rindu peminat-peminat Siti yang sudah lama tidak mendengarkan lagu terbaru. Insya-Allah, album Inggeris Siti juga sedang dalam proses akhir untuk disiapkan. Siti kira dalam sebulan ini akan cuba dipasarkan jika segalanya berjalan dengan baik dan lancar.

Siti juga sedang sibuk dalam persediaan menjayakan beberapa program televisyen untuk hari raya. Biasanya rakaman program raya akan dibuat lebih awal kerana tidak mahu mengganggu ibadah puasa pada Ramadan. Siti lebih suka menyiapkan semua program ini sebelum bulan puasa. Tentunya aktiviti lain juga banyak, antaranya promosi SimplySiti, konsert di Indonesia dan sesi fotografi.

Insya-Allah, selagi diberikan kudrat untuk bekerja, Siti akan lakukan sebaik mungkin. Memang jadual Siti agak sibuk tetapi peminat juga rajin mengikuti perkembangan Siti menerusi Twitter. Pada awalnya Twitter itu memang untuk kegunaan peribadi, malahan nama yang Siti gunakan juga bukanlah nama komersial, namun sekarang ini sudah ramai pengikut dan Siti akan cuba melayan mereka sebaiknya.

Sekali lagi selamat bercuti sekolah buat adik-adik semua. Gunakan masa cuti ini dengan perkara yang bermanfaat. Semoga apa yang kita jalani akan mendapat keberkatan hendaknya.

Salam sayang buat semua.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy