Headline: Adi Putra mula dicemburui
Publication: BM
Date of publication: May 29, 2011
Section heading: Bintang Popular
Page number: 019
Byline / Author: Oleh Zubir Mohd Yunus


MEMULAKAN kerjaya sebagai juru lampu atau kru drama Media Corp Singapura, siapa sangka hari ini, Adi Putra adalah antara pelakon yang sedang menempa populariti sebaris pelakon drama dan filem dari Malaysia.

Populariti yang diraih Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 30, ada kalanya melangkau kehebatan aktor dari Malaysia, sekali gus memberi persaingan sengit kepada industri hiburan negara.

Dia memasuki Malaysia pada 2003 apabila diberi peluang membintangi drama pertamanya, Haryati 2, arahan Erma Fatima, terbitan Global Station. Kini, selepas lapan tahun, Adi menjadi pilihan ramai pengarah dan penerbit, sekali gus membolehkan namanya tersenarai sebagai calon Top 5 kategori Pelakon TV Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 yang berlangsung April lalu.

Adi akhirnya bertemu jodoh dengan produser tempatan, Aida Yusof, 36, pada 14 April 2006, namun sehingga kini belum mempunyai rezeki dikurniakan cahaya mata.

Adi yang kini kerap muncul menerusi komersial TV, Breeze dan juga duta kepada produk berkenaan, sekali lagi mendapat kepercayaan daripada Global Station membintangi drama bersiri, Suria Di Cordoba (SDC) sebanyak 26 episod. Global Station berjaya melakar sejarah industri hiburan tempatan apabila menjadi produksi drama TV pertama dari Malaysia menjayakan penggambaran di Sepanyol.

Skripnya diambil berdasarkan karya Mahizan Husain yang memenangi hadiah utama pertandingan menulis skrip drama TV anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 2005 dengan judul sama.

Selain Adi yang memegang watak sebagai Indra Putra, pelakon utama SDC yang menyertai penggambaran di Cordoba dan Madrid mulai 18 hingga 27 April lalu ialah Sari Yanti (Suria Khadijah Parker) dan Fahrin Ahmad (Tengku Huzir). Turut serta ke negara yang pernah dijulang juara Piala Dunia 2010 itu ialah Penerbit Eksekutifnya, Zetty Adila Ramly dan Penerbit, Datin Zaiton Mohamad Jiwa.

Tinggalkan seketika cerita SDC apabila populariti Adi turut mendapat kepercayaan dari produksi Bollywood apabila dia diberi peluang berlakon di samping bintang terkenalnya, Datuk Shah Rukh Khan (SRK) menerusi filem terbaru Don 2. Sekalipun ada babak dengan pelakon pujaan dunia itu, mereka tiada dialog bersama. Namun, memegang watak sebagai peguam adalah pengalaman cukup manis buat Adi yang berpeluang beraksi di sisi SRK.

Lantaran populariti Adi yang naik mendadak, dirinya dicemburui apabila ada segelintir aktor tempatan menganggap Adi menyekat rezeki mereka, sekali gus memberi persaingan cukup sengit dalam mendapatkan peluang lakonan di negara sendiri.

"Saya tak pernah anggap peluang lakonan yang diberikan menutup rezeki orang lain kerana Allah memberi kita rezeki sama rata, cuma kita yang perlu berusaha mendapatkan rezeki masing-masing. Kalau kita tutup rezeki orang sekali, Allah akan tutup rezeki kita 10 kali. Namun, perjalanan seni saya selama lapan tahun di Malaysia, sesuatu yang cukup getir. Hanya kerja keras dan doa berterusan membuka rezeki saya di sini," katanya lagi.

Nafi isteri mengongkong

DALAM perkembangan lain, mula timbul desas-desus mengatakan Adi turut dikongkong isterinya, Aida Yusof sehinggakan telefon bimbitnya turut dipegang oleh Aida gara-gara dikatakan cemburu apabila Adi dikatakan mempunyai ramai peminat wanita.

Setiap panggilan yang dibuat, ditapis dulu oleh Aida dan sebarang temujanji mahupun temubual haruslah mendapat kebenaran daripada isterinya terlebih dulu. Justeru, sejauh mana kesahihan itu? Adi menjelaskan: "Benar, telefon bimbit saya ada pada Aida. Ketika saya shooting, saya tidak berpeluang menjawab panggilan telefon yang rata-ratanya adalah panggilan `rezeki'. Saya lebih percaya kepada isteri dan apabila di rumah saya pasti bertemu dengannya." "Jadi, tak perlu saya menggaji orang lain sebagai pembantu. Nak kata cemburu, telefon ada pada isteri, jadi daripada cemburu bertukar kepada tanggungjawab, rezeki pun bertambah." Berbalik kepada drama bersiri Suria Di Cordoba, lagu tema drama arahan Feroz Kadir itu berjudul Astana Cinta, dendangan Datuk Siti Nurhaliza, ciptaan Audi Mok dan Omar K.

Sesuatu yang menarik sepanjang penggambaran di Sepanyol, babak paling romantis apabila Indra memujuk Suria menggunakan bantuan pemuzik klasik Sepanyol dikenali La Tunos sambil mendendangkan lagu Besame Mucho di sepanjang Jalan Preciados, Madrid.

Episod pertama SDC akan mula bersiaran menerusi Astro Prima pada 7 Jun ini, diikuti setiap Selasa jam 9 malam.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy