Headline: Adib terbit album Inggeris Siti
Publication: HM
Date of publication: Mar 4, 2011
Section heading: Rentak Artis Popular
Page number: 006
Byline / Author: Oleh Norhadiani Baharom


MASIH terbayang reaksi tetamu asing yang begitu terpegun melihat beliau menyanyi walaupun di bilik karaoke Red Box Pavilion, Disember lalu ketika majlis santai bersama rakan media.

Ketika itu, Datuk Siti Nurhaliza yang hadir bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa turut mengundang anak tirinya, Adib dan Ashraf yang kebetulan ditemani dua rakan warga Australia.

Tatkala Siti melagukan melodi Kau Kekasihku, pandangan tetamu warga Australia itu sedikitpun tidak berkelip menyaksikan Siti selain terus-terusan melemparkan pujian kepada Adib dan Ashraf.

Malam yang disangka berakhir begitu saja tanpa diduga ternyata membawa perkhabaran susulan yang cukup menggembirakan.

Ini kerana Adib bersama kenalan dari Australia itu mendapat idea untuk menerbit album berbahasa Inggeris pertama kali buat Siti sekali gus mahu memperkenalkannya ke peringkat antarabangsa.

Perancangan album itu khabarnya sudah pun dimulakan dan lebih menarik, ia diterbitkan syarikat produksi What's Up Entertainment milik Adib sendiri.

Siti ketika diusulkan hal itu akui menyambut baik idea yang dicetuskan Adib apatah lagi sekian lama menyimpan impian merakamkan album Inggeris.

"Mulanya Siti agak ragu-ragu juga memikirkan mampukah perancangan ini terlaksana dan diterima pendengar apabila album itu siap kelak. Namun melihatkan kesungguhan Adib bersama kawan-kawannya menyusun strategi dengan tersusun, Siti mula berasa yakin untuk melakukannya.

"Alhamdulillah, sekarang sudah enam lagu dirakamkan dan masih berbaki empat. Sesuai dengan minat Siti, album ini lebih terarah kepada pop.

"Insya-Allah, kalau tiada halangan, ia akan berada di pasaran Malaysia pertengahan tahun ini. Matlamat Siti menghasilkan album Inggeris sudah tentu ada kaitan dengan impian Siti menembusi pasaran luar," kata Siti.

Sempat bercerita pengalamannya merakamkan keenam-enam lagu berkenaan, akui penyanyi ini sebutan atau 'diction' menjadi antara perkara yang sangat dititikberatkan.

"Siti kena menyanyi dengan 'feel' dan pada masa sama, perlu menjaga sebutan ada kalanya agak sukar. Berhubung pengalaman bekerjasama dengan orang luar, ia tentu ada kelainan namun semua ini pengalaman baru dan berharga buat Siti.

"Untuk album ini Siti bekerjasama dengan dua komposer dari Australia iaitu Brian Bruno dan Cristian Alexander juga penyanyi hip hop popular di sana," katanya lagi.

Pada temu bual santai itu, Siti sempat bercerita mengena persembahan Minggu Setiausaha anjuran Hotel Quality yang akan diadakan di Matrade Exhibition & Convention Centre, Jalan Duta, pada 5 April nanti.

Berbeza dengan persembahan sebelumnya, Siti yang sudah tujuh kali bekerjasama dengan Hotel Quality akan memperkenankan nostalgia sebagai konsep persembahan.

"Ini adalah kali ketujuh saya mengadakan minggu setiausaha bersama Hotel Quality. Namun kali ini Siti mahu mengembalikan nostalgia buat tetamu yang.

"Siti akan menyanyikan lagu-lagu nostalgia Siti antaranya Kau Kekasihku, Aku Cinta Padamu dan Cindai yang diberikan nafas berbeza. Untuk memeriahkan suasana itu nanti, Siti memilih pengacara terkenal Dee (Jangan Ketawa)," kata Siti yang semakin cantik dan bergaya.

Bagi yang berminat menyaksikan persembahan Siti yang semestinya tidak menghampakan itu, silalah membuat tempahan tiket berharga antara RM340 dan RM550 menerusi talian 03-26939233 sambungan 8023/ 8017.





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy