Headline: Milik harta tujuh angka
Publication: MA
Date of publication: Jun 20, 2010
Section heading: Main Section
Page number: 016
Byline / Author: Oleh Mohd Azam Shah Yaacob; Hidayatul Akmal Ahmad; Raja Noraini Hidayah Raja Abdul Aziz


KUALA LUMPUR: Mereka mungkin tidak mahu bermegah, tapi sekurang-kurangnya enam artis popular tanah air boleh dilabel sebagai jutawan dan memiliki harta bernilai tujuh angka hasil kerja keras dalam bidang seni selama ini.

Artis terbabit ialah Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Norman Abdul Halim (Norman KRU), Mizal Zaini (AC Mizal), Rosyam Nor, Asmawi Ani (Mawi) dan Aznil Nawawi.

Ini dapat dibuktikan dengan koleksi kenderaan mewah, kediaman umpama mahligai dan aset jutaan ringgit yang mereka miliki hasil penat lelah bergelumang dalam bidang hiburan.

Pengacara, pelakon dan penyanyi, AC Mizal antara artis yang memiliki aset serta perolehan pendapatan paling tinggi pada masa kini dan bertaraf jutawan.

Kenyataan ini disokong oleh perniagaan yang diusahakannya di bawah nama AC Konsortium dengan suntikan dana sebanyak RM200 juta selain koleksi beberapa kenderaan mewah dimiliki.

Antaranya Toyota Vellfire, Porsche Carrera dan Bentley Continental yang ketiga-tiganya dianggarkan berharga melebihi RM1 juta, cukup menyenaraikan dia sebagai individu bertaraf jutawan.

"Saya tidak menafikan dan tidak mengiyakan kenyataan itu kerana semua yang saya miliki adalah rezeki daripada Allah SWT dan berkat sokongan serta kepercayaan semua orang.

"Alhamdulillah, saya selesa dengan apa yang saya miliki, namun pada masa sama tidak melupakan orang lain dan ini memang nyata dengan konsep perniagaan yang saya jalankan iaitu tidak memikirkan keuntungan, sebaliknya lebih berkonsepkan kebajikan," katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Terbaru, AC turut dilantik memegang jawatan sebagai Pengarah Ikhtiar Dimensi Sdn Bhd (IDSB) selain pemegang saham dalam syarikat yang memiliki modal berbayar sebanyak RM16 juta.

"Sebenarnya saya menyahut seruan mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan seseorang itu melakukan sesuatu ketika berada di atas dan kerana itulah saya terjun dalam bidang perniagaan ini.

"Namun, ini tidak bermakna saya akan melupakan bidang seni kerana tujuan saya sekarang ini juga adalah untuk membantu rakan artis lain," katanya.

Penyanyi, komposer, pengarah dan pelakon, Norman KRU memang tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai artis yang berjaya dalam bidang perniagaan membabitkan seni.

Terkini, artis yang baru saja menamatkan zaman bujangnya dengan Dr Shireen Mardziah Hashim, mengukuhkan lagi aset terbarunya dengan pembinaan studio berkeluasan 15 hektar di Cyberjaya, Selangor yang dianggarkan bernilai lebih RM30 juta.

Itu tidak termasuk empat anak syarikat yang ditubuhkan bersama dua lagi adiknya, Yusri dan Edry iaitu KRU Films, KRU Records, KRU Matrix dan KRU Communications yang antaranya terletak di Amerika Syarikat (AS), Singapura, Indonesia, Hong Kong dan Eropah.

"Saya tidak merasakan diri saya layak digelar jutawan kerana aset dimiliki bukan milik saya seorang, sebaliknya dikongsi bersama adik beradik saya yang lain iaitu Yusry dan Edry.

"Memang diakui hidup saya kini lebih selesa jika dibandingkan dengan dulu tapi tidaklah sampai tahap memegang status jutawan dan secara jujur saya memang tidak selesa dilabelkan sedemikian," katanya.

Norman juga antara artis yang memiliki beberapa koleksi kenderaan mewah seperti Mercedes, Ferrari Spyder dan BMW yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

Pengacara, penyanyi dan pelakon Aznil Nawawi atau lebih mesra disapa Pak Nil antara selebriti yang turut dilabel sebagai artis jutawan berdasarkan kontraknya bersama Astro yang dikatakan mencecah jutaan ringgit.

Pengacara Jangan Lupa Lirik dan Macam-Macam Aznil itu bagaimanapun tidak pernah menganggap dirinya sebagai jutawan, jauh sekali mahu berbangga dengan apa dikecapi hari ini.

"Alhamdulillah saya bersyukur dengan rezeki dikurniakan Allah. Ini semua berkat usaha keras selain rezeki anak. Namun saya bukan jutawan seperti disangka.

"Kehidupan saya sederhana. Saya hanya menggunakan kereta BMW 3Series sebagai kenderaan rasmi dan menyewa rumah di Bukit Jalil bersama anak.

"Mungkin ramai melihat dari luaran saja, namun hakikat sebenar kehidupan sebagai artis mahupun selebriti bukan seperti disangka," katanya.

Jelas bapa kepada dua anak ini lagi, pendapatan diperoleh juga tidak menentu dan kadangkala bayaran diterimanya lambat.

"Bagi saya, selagi orang masih memberi kepercayaan dan suka dengan hasil kerja yang dibuat, insya-Allah saya akan memberi hasil terbaik dan tidak mengecewakan," katanya.

Menurutnya, setiap rezeki diperoleh akan digunakan untuk masa depan kedua-dua anaknya, tambahan pula anak sulungnya bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang perhubungan antarabangsa di sebuah universiti di Australia.

"Buat masa sekarang saya lebih suka mengamalkan kehidupan secara 'low profile'," katanya yang baru selesai menjalani program hari raya terbitan Mawi Production selain menjadi duta membaca untuk Read Malaysia.

Penyanyi tersohor, Siti Nurhaliza juga antara artis yang memiliki aset serta perolehan pendapatan paling tinggi berdasarkan tahap populariti dirinya selaku penyanyi nombor satu negara.

Kenyataan ini disokong oleh 2008 MTVAsia Awards yang menyatakan penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu memiliki aset bernilai RM50 juta berdasarkan penjualan album, duit kemenangan yang diterima dalam pelbagai anugerah berprestij di negara ini serta pembayaran bagi setiap persembahan diterima.

Selain itu, kekayaan berdasarkan khidmatnya sebagai duta pelbagai produk sepanjang pembabitannya selama 14 tahun bergelar anak seni, antaranya produk Maybelline dan Olay.

Penyanyi ini dikatakan memiliki beberapa koleksi kenderaan mewah termasuk Ferrari, Audi, BMW dan Mercedes yang setiap satunya berharga melebihi RM500,000 sebuah selain beberapa lagi kenderaan yang pernah dimenanginya.

Jika dicongak koleksi kereta mewah dimilikinya, ia cukup membuktikan dirinya antara artis bertaraf jutawan di negara ini seiring dengan populariti diraihnya.

Juara Akademi Fantasia ketiga (AF3), Mawi biarpun popularitinya dilihat semakin merosot juga pernah mencetuskan fenomena selepas menjuarai program itu.

Bermula detik itu, namanya sentiasa menjadi bualan hingga dilamar pelbagai pihak yang berminat menjadikannya duta produk mereka seperti Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, M Mobile Sdn Bhd, Mamee-Double Decker (M) Bhd, Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON) dan Felda Herbal, jurucakap Program Tabung Dapur untuk Darfur, Menara Kuala Lumpur, duta pelancongan Korea, Carrefour selain kaca mata Aeras dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Tidak cukup dengan itu, syarikat makanan segera terkenal Marrybrown, D'e Classic Life( DCL), dan Silky.

Itu tidak termasuk jumlah kereta yang pernah dimenangi dalam beberapa anugerah. Mawi turut tersenarai antara artis yang menerima kereta paling banyak dalam sejarah industri hiburan tanah air selain Siti Nurhaliza.

Antara kereta yang pernah dimenangi termasuk Suzuki Swift 1.5 Hatch ketika menjuarai AF3, kereta mewah Peugeot 407 2.0 bernilai RM143,000 yang dimenangi menerusi Anugerah Bintang Popular 2007 Berita Harian (ABPBH2007), seterusnya kereta Kia Optima dan Sorento.

EON juga menghadiahkan Mawi sebuah kereta Proton Savvy dengan nombor pendaftaran MAW 1100.

Selain kereta, Mawi memiliki banglo dianggarkan bernilai RM1 juta di Bandar Baru Bangi dan kondominium yang dimenangi ketika menjadi juara AF3 selain memiliki syarikat produksi Mawi World Entertainment.





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy