Headline: 'Saya sendiri gunakannya'
Publication: HM
Date of publication: Jun 9, 2010
Section heading: Rentak Artis Popular
Page number: 006
Byline / Author: Oleh Hartati Hassan Basri


DULU suaminya digelar usahawan. Kini giliran Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 31, sama bergelar usahawan apabila melancarkan produk penjagaan kulit dan kosmetik berjenama SimplySiti.

Kalau dulu Siti menjual suaranya yang merdu untuk menghiburkan peminat, kini berkongsi rahsia kecantikan dengan semua. Bagaimanapun, ini bukan kali pertama Siti mengeluarkan produk sendiri kerana sebelum ini ada CT Tea, tetapi impak produk itu kurang berbanding SimplySiti.

Belum pun dua bulan SimplySiti berada di pasaran, ia sudah menang anugerah Produk Halal Terbaik daripada Halal Jurnal 2010 sekali gus mengikut jejak kehebatan Siti dalam seni kerana mencatat kejayaan singkat sejak awal pembabitannya pada 1995.

Namun, akui Siti, bukan mudah jalan yang dilaluinya kerana banyak cabaran sehingga berjaya mempunyai rangkaian produk sendiri. Berkat kesungguhan bersama rakan kongsi, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, SimplySiti dilancarkan dengan rasminya akhir Mac lalu.

Peminat Siti kini boleh berkongsi rangkaian kosmetik dan penjagaan kulit wanita seperti SimplySiti C Bright, SimplySiti New Age dan SimplySiti Acne Solution. Manakala rangkaian kosmetik SimplySiti termasuk Wajah Sempurna, mekap mata SimplySiti Mata Bercahaya dan rangkaian mekap bibir SimplySiti For Your Lips Only.

Dalam pertemuan ketika majlis kesyukuran SimplySiti di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini, Siti sedia berkongsi cerita dengan Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro, HARTATI HASSAN BASRI (hartati@hmetro.com.my) mengenai cabaran terbarunya itu.

RAP: Tahniah kerana produk SimplySiti menang Produk Halal Terbaik. Nampaknya belum pun dua bulan berada di pasaran, sudah menang anugerah.

SITI: Saya dimaklumkan mengenai berita gembira ini 26 Mei lalu, kebetulan sehari sebelum buat majlis kesyukuran atas kejayaan SimplySiti mencapai sasaran untuk jualan bulan pertama. Pada majlis itu, kami rakan niaga dari Terengganu, Melaka dan Selangor yang selama ini bertungkus-lumus dari awal bagi memastikan SimplySiti berada di pasaran.

Alhamdulillah, kesungguhan kami mendapatkan logo halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibalas dengan kejayaan ini. Bukan mudah untuk mendapatkan logo halal ini kerana kami membawa pegawai Jakim ke kilang di Korea untuk melihat sendiri proses membuatnya. Mereka bukan setakat memantau bahan digunakan malah sampaikan latar belakang pekerja. Tapi semua itu kami usahakan untuk memastikan produk ini digunakan tanpa rasa was-was.

Ternyata kesungguhan kami mendapatkan logo halal ini turut mendapat perhatian pengusaha lain kerana mereka tahu pentingnya logo ini kepada pengguna Muslim.

RAP: Apa yang mendorong Siti menghasilkan produk penjagaan kulit dan kosmetik?

SITI: Sebenarnya bidang ini memang saya suka, maklumlah orang perempuan. Saya suka bermain dengan warna ketika mekap sendiri, supaya tidak setiap masa bergantung dengan jurusolek.

Sebagai artis, saya jadi perhatian dan selalu peminat mengatakan mereka suka dengan warna gincu pilihan saya begitu juga kombinasi warna digunakan untuk mekap. Daripada situ timbul idea mempunyai produk sendiri untuk dikongsi bersama peminat. SimplySiti begitu dekat dengan saya kerana pembabitan sepenuhnya dari awal hingga akhir. Daripada pemilihan warna, tekstur, bau dan segalanya adalah 100 peratus daripada saya.

RAP; Bagaimana sambutan peminat setakat ini?

SITI: Alhamdulillah, ramai berpuas hati. Selepas dilancarkan akhir Mac lalu, sambutannya membanggakan kerana mencapai sasaran jualan untuk bulan pertama. Saya juga turun padang untuk promosi memperkenalkan produk ini melalui jelajah di seluruh negara sejak sebulan lalu bermula dengan Kuantan kemudian Ipoh, Johor Bahru, Seberang Prai dan baru balik dari Melaka.

Selepas itu saya ke Kuching, Sarawak kerana ada undangan menjayakan Malam Setia Kasih di Pusat Konvensyen Borneo (BCC) pada 6 Jun. Kata orang sambil menyelam minum air dan saya gunakan kehadiran saya di sana untuk memperkenalkan produk ini kepada orang di Kuching.

Kami juga akan keluarkan rangkaian produk edisi khas untuk Aidilfitri. Ia berbeza daripada rangkaian sedia ada terutama pilihan warna. Kami juga cuba memperkenalkan rangkaian produk edisi khas ini bagi setiap perayaan.

RAP: Apakah Siti sendiri menggunakan produk ini atau hanya sekadar bisnes menggunakan populariti Siti?

SITI: Sudah tentu saya sendiri menggunakannya kerana produk ini memang istimewa daripada saya sendiri. Apabila mendapat formula ini, kualitinya setanding produk berjenama, tetapi dijual dengan harga jauh lebih murah. Jadi, buat apa membazir wang menggunakan produk mahal sedangkan ada produk yang memang diyakini kualitinya.

Sebagaimana lagu tema produk ini, Rahsiaku Kini Milikmu, saya ingin berkongsi segala rahsia penjagaan kulit dan kosmetik digunakan dengan peminat. Sebenarnya ikutkan harga, memang murah berbanding bahan digunakan tapi saya mahu produk ini mampu dimiliki peminat segenap lapisan.

Saya juga bangga kerana lagu tema yang saya cipta bersama Audi Mok dan lirik hasil tulisan saya, turut diminati peminat apabila dipersembahkan setiap kali promosi jelajah.

RAP: Apakah kehidupan Siti berubah apabila bergelar usahawan?

SITI: Kehidupan saya masih seperti biasa. Kalau dulu jual suara sekarang jual produk kecantikan. Prosesnya tidak jauh berbeza dengan persiapan menghasilkan album atau menjayakan konsert. Saya juga bertemu peminat untuk promosi produk ini. Cuma buat masa ini saya banyak belajar selok-belok perniagaan daripada suami yang sudah lama menceburi bidang ini dan banyak pengalaman.

RAP: Kejayaan Siti dalam seni dicemburui rakan artis hingga dikatakan menggugat kerjaya mereka. Bagaimana dengan dunia perniagaan kecantikan?

SITI: Setakat ini tidak ada masalah tapi dalam mana-mana pun, persaingan tetap ada lebih-lebih lagi produk kosmetik yang banyak ada di pasaran. Tapi saya yakin dengan produk berkualiti dan dijual pula dengan harga rendah, peminat akan percaya dengan produk ini.

RAP: Ada rancangan meluaskan pasaran ke luar negara?

SITI: Memang ada. Buat masa ini perbincangan untuk mencari rakan kongsi di Indonesia sedang dijalankan kerana pasaran mereka besar. Begitu juga hasrat membawa produk ini ke Timur Tengah kerana logo halal memberi kelebihan. Ditambah pula dengan minat wanita Arab pada mekap.

RAP: Sebelum ini Siti ada produk CT Tea, nampaknya produk ini kurang berjaya. Mengapa?

SITI: Ketika keluar produk teh itu pertengahan 2005, kami tidak merangka satu strategi pemasaran dan promosi besar-besaran. Mungkin kerana kurang pengalaman, lagipun kami sudah mengeluarkan bajet besar untuk memulakan perniagaan ini dan tidak mampu mengeluarkan bajet lagi untuk promosi. Akhirnya pada Mac lalu, kami hentikan pengeluaran produk ini dan kini tumpukan sepenuhnya kepada SimplySiti. Apapun, saya tidak sifatkan CT Tea sebagai gagal sebaliknya banyak belajar daripadanya. Kami sedar apa-apa produk baru, perlu strategi pemasaran dan promosi besar dengan peruntukan bajet besar. Itulah yang dilakukan untuk SimplySiti.

RAP; Apakah ada rancangan mempunyai pakaian jenama sendiri?

SITI: Selain produk kecantikan, saya juga berminat mempunyai minyak wangi sendiri. Tapi membuka butik sendiri, belum lagi buat masa ini. Sebenarnya, saya jarang beli baju sendiri. Dulu Rozie (kakak ipar) selalu pilihkan baju untuk saya. Apabila berkahwin, suami yang pilihkan. Saya juga lebih suka serahkan kepada pereka fesyen buat baju untuk saya kerana mereka lebih arif. Tapi kalau berjalan-jalan dan berminat dengan satu-satu baju tertentu, saya beli juga.

RAP: Akhir-akhir ini Siti kurang aktif dalam seni. Apakah ingin bersara daripada nyanyian untuk memberi sepenuh tumpuan kepada perniagaan?

SITI: Kesibukan menjayakan promosi SimplySiti membuatkan saya mengurangkan aktiviti nyanyian, tetapi bukan mahu bersara. Bidang nyanyian memang saya minati sejak dulu dan akan terus menyanyi selagi diterima peminat. Cuma buat masa ini tumpuan lebih kepada keluarga dan sekarang bisnes yang baru bermula.

RAP: Baiklah, kita alih soalan sedikit. Ada khabar angin mengatakan insiden Mawi 'diboo' ketika Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH 2009) lalu adalah perbuatan peminat Siti. Apa komen Siti?

SITI: Kalau ada yang menuduh begitu, saya menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan itu. Saya percaya ia bukan perbuatan peminat saya kerana saya tahu tempat duduk mereka dan suara 'boo' itu bukan datangnya dari kelompok SitiZoners. Lagipun kami bertanding dalam kategori berbeza dan tidak timbul persaingan antara kami apabila nama Mawi diumumkan untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular. Apapun, saya anggap perbuatan penonton melemparkan 'boo' kepada Mawi sebagai kurang bijak dan tidak wajar dilakukan kepada sesiapa pun. Dalam ghairah menyokong artis kesayangan mereka, peminat seharusnya melihat persaingan itu daripada sudut sihat.





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy