Headline: Rawatan untuk semua jenis kulit
Publication: HM
Date of publication: May 20, 2010
Section heading: Variasi
Page number: 006
Byline / Author: Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


"SITI tidak akan jual sesuatu produk jika diri sendiri tidak menyukainya. Justeru, Siti dan rakan kongsi turun padang untuk memilih sendiri apa yang digemari kerana kami percaya, jika kita sendiri berpuas hati barulah masyarakat akan dapat menerimanya," kata penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza mengenai produk jenamanya, SimplySiti.

Sebelum menemui pasaran, produk SimplySiti terlebih dulu menjalani proses pembangunan dan penyelidikan di Korea selama dua tahun.

Sepanjang tempoh itu juga, pihaknya melakukan kajian keberkesanan terhadap 100 wanita di beberapa negeri di seluruh negara.

"Alhamdulillah, produk ini menepati piawaian kerana sudah menjalani ujian dermatologi yang membuktikan ia selamat untuk semua jenis kulit terutama keperluan kulit wanita di negara ini.

"Apa yang istimewanya, pengguna produk ini tidak perlu lagi ragu atau was-was kerana SimplySiti mendapat sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Penghibur itu berkata, produk jenama berkenaan yang dihasilkan menggunakan kepakaran teknologi nano dan sudah berada di pasaran sejak awal April lalu dengan sambutan menggalakkan.

Sebagai pengenalan, jenama itu hanya mengeluarkan produk kecantikan merangkumi rangkaian penjagaan kulit seperti C Bright, New Age dan Krim Simply 5 (Acne Solution). Menurut Siti Nurhaliza, untuk wanita yang mahukan kulit wajah lebih cerah semula jadi, rangkaian penjagaan kulit, C Bright, paling sesuai untuk digunakan kerana ia kaya dengan nutrien asli dan mengandungi formulasi unik bunga tuna opuntia, arbutin serta ekstrak pokok pain Korea.

Formulasi berkenaan bukan saja membantu melembapkan kulit malah turut berfungsi menghalang pembentukan melanin berlebihan supaya kulit menjadi lebih lembut, licin dan berseri menerusi tujuh produk yang disediakan.

Untuk membantu mengatasi proses penuaan, jenama itu turut mengesyorkan wanita supaya mencuba rangkaian New Age yang dihasilkan daripada estrak daun Prunella Vulgaris, kolagen laut dan adenosin.

Rangkaian ini menyediakan tujuh produk iaitu pembersih, penanggal solekan, pelembap, krim pelindung sinar UV, serum rawatan, krim mengelupas dan melembap serta topeng pupur untuk memperbaiki keanjalan kulit.

Selain itu, bagi membantu wanita mengatasi jerawat di wajah, SimplySiti memperkenalkan krim istimewa yang dirumus khas untuk menghapuskan bakteria punca masalah berkenaan.

Krim Simply 5 berkenaan dihasilkan daripada sejenis enzim daripada buah betik, pokok teh dan juga ekstrak kulit pokok Willow yang sememangnya kaya dengan kandungan asid salasilik.

Ia membantu mengupas sel kulit mati secara berkesan sekali gus mengurangkan kemunculan jerawat pada wajah sekali gus menjadikan kulit nampak licin dan bebas daripada cela.

Untuk rangkaian kosmetik, jenama berkenaan mengetengahkan produk solekan menarik seperti gincu bibir, pelembap bibir, pembayang mata, pensil mata, penggaris kening, maskara, bedak kompak, bedak debu, bedak asas two way cake dan pemerah pipi dengan koleksi warna terkini yang sesuai untuk semua wanita pelbagai latar kerjaya.

Siti Nurhaliza berkata, pihaknya tidak menjanjikan kesan penggunaan yang segera kerana keberkesanan sesuatu produk itu bergantung kepada banyak faktor dan regim penjagaan kecantikan yang diamalkan.

Bagaimanapun, jika menggunakan produk berkenaan secara konsisten antara tempoh tiga minggu hingga tiga bulan, pengguna akan dapat melihat hasilnya.

"Produk SimplySiti boleh didapati di lebih 200 rangkaian farmasi Watson seluruh negara dan pasar raya Jusco (Alpha Angle), selain bakal menyaksikan jenama ini tampil dalam bentuk kiosk dengan pembukaan pertama di JB Sentral, Johor Bahru.

"Jika semuanya berjalan lancar, Insya-Allah, kami merancang membawa produk jenama ini untuk menembusi pasaran negara jiran terutama Singapura dan Brunei, pada masa depan," katanya ketika ditemui pada siri jelajah jenama berkenaan di Petaling Jaya, baru-baru ini.





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy