Headline: Lagu Melayu ke lagu Indonesia?
Publication: HM
Date of publication: May 8, 2010
Section heading: Rentak Artis Popular
Page number: 018
Byline / Author: Oleh Roslen Fadzil


SAYA ingatkan tidak sempat, rupanya ada juga rezeki hendak tengok Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) secara 'live' di PTWC, selepas saya dan rakan artis bergegas pulang ke KL dari Dungun, Terengganu, awal pagi Ahad lalu.

Seperti saban tahun, AIM antara majlis anugerah yang ingin kita tengok selain Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Festival Filem Malaysia (FFM), Anugerah Skrin TV3 dan beberapa lagi.

Maklum sajalah sejak bertahun-tahun lamanya, AIM menjadi satu-satunya anugerah tempatan ala Grammy Awards yang mengiktiraf hasil karya lagu daripada kulit album hinggalah tenaga kreatif di belakang tabir penerbitan sesebuah album.

Penjurian AIM bukan membabitkan orang ramai memangkah borang atau menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) tetap diadili barisan juri daripada kalangan orang industri.

Dari segi keputusan, kita melihat ada jugalah keputusan yang menyegarkan seperti Hazami menang Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Lagu, In-Team (Album Nasyid Terbaik). Vokal terbaik wanita saya tidak mahu komen sebab yang bertanding di situ adalah Datuk Siti. Kalau Siti ada, siapa berani hendak lawan vokalnya? Itu juga pilihan juri dan mana boleh kita hendak lawan juri bukan?

Saya tengok wajah-wajah baru lain yang naik pentas termasuklah Bunkface, Yuna dan juga DJ Fuzz. Malah, saya perasan ada sekumpulan wartawan berteriak sakan apabila mendengar Dayang menang kategori Album Pop Terbaik.

Pastinya bukan sebab mereka bencikan Siti tetapi agaknya mendapat angle baru hendak menulis atau buat intro untuk laporan.

Yalah, kalau balik-balik benda yang sama setiap tahun, tentu pembaca juga muak membacanya bukan.

Jujurnya, apa yang saya ingin coretkan di sini ialah mengenai satu kategori yang saya anggap sangat pelik dan mengelirukan.

Kategori itu adalah Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara yang juga dijolok sebagai nama terpanjang dalam AIM17.

Sekali pandang macam bagus dan sungguh bermakna sekali kategori itu.

Ia dengar seperti hendak memartabatkan bahasa Melayu yang kita jadikan sebagai bahasa Malaysia iaitu bahasa rasmi negara kita.

Maksudnya pada masa depan, kalau Celine Dion, Mariah Carey atau, Amr Dhiab atau Jackie Cheung menyanyikan lagu Melayu, maka mereka akan layak menyertai kategori ini bukan?

Namun harus diingat, bahasa Melayu itu tidak sama dengan bahasa Indonesia. Bahasa Indonesia adalah bahasa Republik Indonesia.

Kalau melihat calon-calon kali ini, semua yang bertanding dalam kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara adalah artis Indonesia seperti Krisdayanti dan Agnes Monica (gambar).

Mereka bukannya menyanyi lagu bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara kita tetapi jelas sekali bahasa Indonesia.

Kita sedia maklum, kalau dengar sebutan saja kita sudah tahu itu itu lagi apa.

Kalau kita sebut izin, mereka sebut 'ijin', kerana akan jadi kerna, beza (beda), curang (selingkuh) dan 1001 lagi perbezaan yang kalau kita semak dalam kamus, 40 hari 40 malam pun tak akan habis!

Sebab itulah kita lihat di peringkat antarabangsa kita ada macam-macam 'awards' seperti American Music Awards, British Music Awards dan segala mak nenek anugerah lagi. Kalau orang putih semua kita sebut sebagai orang putih, tetapi orang London cakap orang putih tak sama dengan loghat orang New York.

Malah, berbalik kepada isu album Indonesia tadi, produksi dan pembikinan lagu dalam kategori itu sendiri dari Indonesia. Jadi ia lebih kepada negara, bukannya bahasa. Kalau tak silap saya, dulu memang ada kategori Album Indonesia Terbaik. Bukankah itu lebih mudah dan senang difahami daripada kita bermain bahasa?

Bagi saya lebih senang kalau diletakkan lagu-lagu asing itu dalam kategori Lagu Indonesia Terbaik, Lagu Singapura Terbaik atau Lagu Brunei Terbaik. Atau, dilonggokkan semua itu menjadi Lagu Luar Negara Terbaik di mana satu dunia pun boleh masuk AIM.

Kata guru saya dulu, bahasa jiwa bangsa. Bahasa juga jiwa negara. Mungkin perkara itu ada pihak yang terlepas pandang. Jadi sama-samalah kita perelokkan untuk karpet merah yang akan datang. - roslenmetro@yahoo.com





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy