Headline: Sheila, Siti gegarkan AIM 17
Publication: BH
Date of publication: Apr 16, 2010
Section heading: Sentral
Page number: 014
Byline / Author: Oleh Farihad Shalla Mahmud


DATUK Sheila Majid dan Datuk Siti Nurhaliza adalah antara dua nama besar yang diberi penghormatan untuk membuat persembahan pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-17 (AIM17) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei depan.

Turut tersenarai untuk membuat persembahan pada malam itu ialah Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Aizat, Yuna, Ayu, Alif Satar, Dafi, DJ Fuzz, Iqwal, Mila, Point Blanc, Daly (Ahli Fiqir) dan Karen Kong serta penyanyi jemputan dari Indonesia, Krisdayanti. Turut tersenarai untuk memeriahkan acara itu ialah Shila, Riz, Vince, Preeta Prasad, Altimet dan Andrew Tan.

Semua persembahan penyanyi pada malam itu akan diiringi kumpulan pemuzik handalan di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Aubrey Suwito dan Ramli MS.

Sementara itu senarai artis yang terpilih untuk menyampaikan trofi pula terdiri daripada Amanda Imani, Basil (FlyFM), Colabr8, Diana Danielle, Hafiz, Liyana Jasmay, Jo-Anna Henley, Mawi, Prema Yin, Shruthi, Ruffedge, Soo Wincci dan Tini (Hot FM). Sementara itu, Adibah Noor dan Afdlin Shauki pula bertindak sebagai pengacara.

Di atas kertas, menyenaraikan nama penyanyi, penyampai trofi dan pengacara kelihatan mudah. Hakikatnya ia adalah tugas yang sering memeningkan penganjur AIM iaitu Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM).

Sebagai sebuah acara berprestij dan boleh dianggap sebagai acara Anugerah Grammy untuk karyawan muzik tempatan, tentunya penganjur bersikap lebih selektif mengenai siapakah yang layak untuk beraksi di majlis yang gilang gemilang itu.

Lagipun pentas AIM bukanlah tempat untuk bereksperimen atau mem p ro mosikan lagu terbaru dan sebagainya, tetapi ia lebih kepada untuk memperlihatkan betapa Malaysia sebenarnya mempunyai ramai penyanyi yang berbakat besar dan setaraf dengan penyanyi dari luar negara.

Justeru tidak hairan andai mereka yang berkemampuan untuk menghiburkan penonton serta mempunyai tarikan luar biasa saja mampu untuk menempatkan diri mereka dalam kelompok yang bertuah malam itu.

Mengulas lanjut perkara itu, Penerbit AIM 17, Jennifer Thompson berkata walaupun Malaysia tidak ketandusan penyanyi berbakat, tetapi mereka tetap berdepan dengan masalah kerana tidak semua penyanyi mampu untuk menggalas tanggungjawab yang cukup berat itu.

"Mencari penyanyi yang layak untuk membuat persembahan pada malam kemuncak adalah masalah utama kami setiap tahun. Bukan tidak ada penyanyi yang layak, tetapi ada di antara mereka sudah pun membuat persembahan di majlis anugerah yang lain sebelum ini.

"Kalau boleh kami tidak mahu mengambil artis yang serupa, tetapi pada masa sama kami kena fikirkan soal cita rasa penonton juga. Jadi disebabkan itulah jika diperhatikan senarai artis yang terpilih untuk mengadakan persembahan nanti ada di antara mereka pernah muncul dalam persembahan lain," katanya.

Tidak mahu tangkap muat saja

JENNIFER menjelaskan, untuk membezakan persembahan AIM dengan acara lain, pihaknya lebih menekankan soal konsep selain inti pati keseluruhan yang akan dilakukan ini antara lain menterjemahkan konsep kerjasama. Ini kerana setiap persembahan itu nanti akan berkait rapat antara satu sama. Itulah kelainan yang hendak ditonjolkan pada malam kemuncak AIM17 nanti.

"Apa yang boleh saya katakan, pada malam itu nanti semua penyanyi dan pemuzik digandingkan antara satu sama lain bagi membentuk konsep yang kami rancang lebih awal. Bagaimanapun, akan hanya ada seorang penyanyi yang akan membuat persembahan secara solo iaitu penyanyi tempatan yang kini sedang mencipta nama di Amerika Syarikat iaitu Zee Avi.

"Jarang penyanyi tempatan bernasib baik sepertinya dan diharapkan dengan kemunculan Zee Avi ini diharap dapat menyuntik motivasi kepada penyanyi tempatan untuk mengikut jejak langkahnya.

"Dia akan menyanyikan dua buah lagu yang tempoh masanya adalah dalam lebih tiga minit. Kehadirannya itu pasti mampu membangkitkan semangat Malaysia Boleh," katanya pada majlis sidang media mengumumkan barisan penyanyi yang akan membuat persembahan pada malam kemuncak AIM 17, di ibu negara, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM17, Cheah Mun Kit; Pengerusi PAIMM, Datuk Aziz Bakar dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM17, Rosmin Hashim.

Jennifer berkata mereka juga perlu berbincang dengan penyiar rasmi AIM17, iaitu ntv7 supaya pada masa yang sama tidak membelakangkan cita rasa penonton.

"Saya tahu selepas melihat senarai penyanyi yang terpilih untuk membuat persembahan, pasti akan ada yang mempertikaikannya. Memilih penyanyi yang layak membuat persembahan adalah satu tugas mencabar. Bayangkan tempoh masa dua setengah jam dan jumlah slot yang terhad, kami perlu menyajikan yang terbaik kepada penonton.

"Disebabkan itu, pelbagai kriteria perlu diambil kira kerana ia membabitkan siaran langsung dan prestij anugerah itu sendiri. Kami tidak mahu tangkap muat saja.

"Selain mengambil kira soal genre muzik yang perlu ada dalam setiap persembahan iaitu pop, rock, hip hop, etnik, kriteria yang terpenting pastinya penyanyi itu mampu menyanyikan secara live di samping tidak cepat gementar di atas pentas," katanya sambil memaklumkan menerima tambahan satu slot menjadi sembilan berbanding lapan sebelum ini disebabkan penampilan Zee Avi secara solo itu.





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy