Headline: Misi angkat muzik tradisi
Publication: HM
Date of publication: Jan 16, 2009
Section heading: Rentak Artis Popular
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Ramlah Zainal


GOSIP keretakan rumah tangganya sudah pun reda diperkatakan orang. Malah, penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menganggap selepas penjelasan diberikannya bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dalam satu sidang akhbar baru-baru ini, semuanya sudah selesai.

Bagi Siti yang menyambut hari lahirnya yang ke-30 tanggal 11 Januari lalu, penderitaan rakyat Palestin terutama kanak-kanak tidak berdosa yang menjadi mangsa kekejaman Israel di Semenanjung Gaza lebih menyentuh hati dan perasaannya berbanding gosip rumah tangganya yang tidak berasas itu.

"Saya mengikuti perkembangan penduduk Palestin yang menderita di Semenanjung Gaza menerusi berita dilaporkan media cetak dan elektronik saban hari.

"Saat melihat kekejaman itu, hati terdetik untuk berdoa semoga Tuhan turunkan bencana besar kepada tentera Israel itu. Saya juga berharap umat Islam di seluruh dunia juga berdoa perkara sama," katanya.

Siti berkata, dia juga menyokong usaha memboikot produk Amerika Syarikat jika didapati menyalurkan wang kepada tentera Israel.

"Saya juga meminta semua artis tempatan di luar sana untuk sama-sama membantu usaha ini. Saya percaya, jika semua umat Islam di seluruh dunia bersatu untuk memboikot barangan terbabit, tentera Israel akan merasai keperitannya," katanya.

Siti ditemui ketika pelancaran album kontemporari tradisionalnya, Lentera Timur di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, Siti menyumbangkan RM2,000 untuk Tabung NSTP Untuk Gaza kelolaan The New Strait Times Press (M) Bhd (NSTP). Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar menerima sumbangan berkenaan mewakili kumpulan NSTP.

Kata Siti lagi, sumbangan itu dibuat atas nama syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd (SNP).

"Sebenarnya, SNP memang mempunyai peruntukan untuk program kebajikan setiap tahun. Mungkin jumlah ini tidak seberapa tapi ia sumbangan ikhlas daripada syarikat.

"Saya dan suami juga bercadang memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin menerusi Yayasan Nurjiwa nanti.

Selain itu, saya juga terbabit dalam konsert amal untuk membantu penduduk Palestin yang juga projek naungan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 31 Januari ini.

"Saya juga berharap artis lain di luar sana sama-sama membantu meringankan penderitaan penduduk Palestin mengikut kemampuan mereka. Mungkin mereka tidak mampu membantu dari segi wang tetapi sekurang-kurangnya menerusi persembahan amal untuk mengutip dana dianjurkan pihak tertentu," katanya.

Pada sidang media petang itu, Siti juga berkongsi cerita mengenai bingkisan album barunya, Lentera Timur yang menjengah pasaran sejak 26 Disember lalu.

"Album ini cukup bermakna buat saya dan peminat kerana selepas kemunculan album Sanggar Mustika, saya hanya menghasilkan album berkonsep pop selama beberapa tahun. Lentera Timur bermaksud lampu atau Cahaya Timur.

"Pemilihan judul ini memainkan peranan penting kerana misi saya ingin mengangkat muzik budaya bangsa dalam arus pemodenan supaya terus menjadi cahaya kepada muzik Nusantara atau timur," katanya.

Siti mengakui, album itu adalah antara bingkisan terbaiknya buat peminat.

"Kos album ini juga mencecah ratusan ribu ringgit. Selagi mampu, apa salahnya saya keluarkan bajet lebih sedikit untuk album ini. Apa yang penting, saya ingin menjaga kualiti album dihasilkan. Maklumlah, peminat sudah menanti selama empat tahun untuk melihat album ini di pasaran. Justeru, kepuasan diri dan peminat cukup diutamakan.

"Album ini juga berjaya merealisasikan Impian saya untuk menghimpunkan nama besar dalam bidang penciptaan lagu dan penulisan lirik. Sembilan lagu dalam album ini dihasilkan menerusi bengkel Cipta Ekspres MACP-Berirama Malaysia bersama Siti Nurhaliza, Januari lalu.

"Saya amat berpuas hati dengan komitmen penerbit album ini. Saya amat berharap Lentera Timur dapat mengembalikan kegemilangan lagu tradisional sekali gus memartabatkan industri muzik Malaysia. Selain itu, impian saya untuk buat semua lagu dalam `live strings' juga tercapai dalam album ini," katanya.

Bagaimanapun, Siti tidak ingin peminat membandingkan album Lentera Timur dengan album tradisionalnya sebelum ini.

"Album ini berkonsep tradisional kontemporari dan muziknya tidak terlalu berat. Ia juga berbeza dengan album Sanggar Mustika. Ia ada elemen moden dan tidak ada masalah untuk stesen radio tempatan memutarkannya.

"Dari segi susunan lagu, saya memang puas hati dan ia juga sesuai dengan perkembangan industri muzik semasa. Orang memang nak dengar lagu tradisional seperti ini dan saya juga buat album yang orang nak dengar.

"Walaupun rangkaian lagu dalam album ini berentak tradisional tetapi susunan muzik dibuat mengikut citarasa zaman sekarang iaitu mendapat sentuhan muzik moden.

"Jati diri muzik dan penggunaan alat muzik tradisional amat dititikberatkan dalam penghasilan setiap lagu. Saya berpendapat dengan mengetengahkan muzik tradisional kontemporari saya dapat mencari peminat baru atau remaja untuk mencintai muzik tradisional malah dapat memberikan sesuatu baru dalam lagu Melayu masa kini," katanya.

Yakin dengan kekuatan album Lentera Timur, Siti juga mensasarkan, ia bakal mencecah kutipan sebanyak 100,000 unit dalam tempoh enam bulan.

"Setakat ini, Lentera Timur sudahpun terjual lebih 10,000 unit dan sudah ada tempahan untuk cetakan kedua.

Saya juga sedar keadaan pasaran album merosot sekarang. Saya berharap kemunculan album ini akan dapat menaikkan kembali industri muzik tanah air.

"Saya sudah bersyukur jika ia dapat terjual sebanyak 50,000 unitpun. Tapi kalau dapat capai 100,000 unit, ia pencapaian membanggakan," katanya.

Siti berkata, dia percaya impian itu boleh dicapai menerusi kerja keras dan promosi yang lebih meluas membabitkan kerjasama stesen radio tempatan.

"Mungkin saya boleh turun padang untuk mempromosikan album ini sekaligus mendekatkan diri dengan peminat seperti dulu. Mungkin, ia boleh direalisasikan dengan program kerjasama dengan pihak Jusco dan saya boleh terus mempromosikan sekali album baru ini," katanya.

Sebelas lagu yang dimuatkan dalam album terbitan SNP dan edaran Suria Records ini ialah Di Kayangan Kita (Johari Teh/Keon), Bintang Malam (Johan Nawawi/Amran Omar) Ada Masa Mata (M.Nasir/Ad Samad), Bulan Yang Mesra (Khairil Johari Johar/Zubir Ali), Seloka Budi (Adnan Abu Hassan/Azam Dungun), Rasa Antara Kita (Khairil Johari Johar/ Zubir Ali), Senyum Minang Manis (Zul Mahat/Abot), Joget Menanti Kasih (S.Atan/Habsah Hassan) dan Di Taman Teman ( Fauzi Marzuki/Hairul Anuar Harun).

Dua lagi lagu yang dipilih ialah Jelmakanlah Ayumu (Pak Ngah) dan Cinta ini, ciptaan penyanyi dan komposer Indonesia Katon Bagaskara.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy