Headline: Empat musuh baru Qistina
Publication: HM
Date of publication: Dec 25, 2008
Section heading: Rentak Artis Popular
Page number: 14
Byline / Author: Oleh Norhadiani Baharom


KEINDAHAN banglo yang di Lot 249, Kampung Sungai Plong Buluh Perindu, Sungai Buloh pasti menarik perhatian siapa saja yang lalu lalang. Bercirikan konsep Inggeris, siapa sangka banglo yang didirikan pada tanah berkeluasan empat ekar itu berubah wajah menjadi spa dan digunakan sebagai set penggambaran Spa Q, musim kedua.

Pertemuan dengan Pengarah Spa Q 2, Redza Fahmy Suib di lokasi berkenaan pada 18 Disember lalu, ternyata membongkar banyak cerita. Lebih daripada sebuah spa, ia juga menyimpan kisah suka duka seorang wanita bernama Qistina, watak yang dibawakan Norish Karman.

Dugaan tidak pernah menguji Qistina dan kali ini menurut Redza kehidupan wanita tabah itu bakal terancam dengan kehadiran empat wanita yang menjadi musuh barunya.

"Spa Q kali ini banyak plot, lebih berbelit dan beremosi. Jika terlepas satu episod penonton tidak akan dapat mengaitkannya episod terdahulu dengan yang sedang bersiaran.

"Lima watak perempuan jelita dan glamor ditampilkan dan mereka mempunyai masalah tersendiri. Empat daripadanya akan menentang Qistina apabila dua daripadanya adalah pekerjanya di Spa Q, watak yang dilakonkan Zizie Ezette dan Fauziah Ghouse.

"Seorang lagi musuh Qistina adalah kakak sendiri, Marlia watak yang dibawakan Azizah Mahzan termasuk Datin Sofira (Jasmin Hamid) yang tidak tahu menahu dari mana asal usulnya.

"Muslihat dan motif dendam Datin Sofira juga, hanya akan terjawab pada saat terakhir episod Spa Q. Lebih mengejutkan Faradhiya yang membawakan watak sebagai Fatin pada musim yang lalu akan muncul kembali tetapi kali ini melakonkan watak Julia," katanya.

Sebagai pengarah, Redza menyifatkan Spa Q musim kedua ini lebih mencabar bukan saja cabaran untuk memperkembangkan jalan ceritanya tetapi juga menjelaskan konflik yang berlaku.

Selain itu, telenovela terbitan produksi Global Station Sdn Bhd turut melakar kejayaan tersendiri apabila berjaya menggabungkan lapan pelakon yang pernah memenangi anugerah antaranya Jasmin Hamid, Zizie Ezzette, Azizah Mahzan dan Zaefrul. Justeru, dengan pembabitan itu boleh dikatakan penghasilan Spa Q 2 setanding filem.

Bahkan, Spa Q yang menemui penonton pada 15 Disember lalu, satu-satunya drama yang pernah dijayakan penyanyi wanita nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin selepas 13 tahun terbabit dalam arena seni hiburan. Malah, Siti juga menyanyikan lagu tema Spa Q 2, Pada Cintanya.

Bagaimanapun, dalam pembikinan setiap drama mahupun filem bagaikan tidak lengkap tanpa kesulitan. Menerusi Spa Q musim kedua ini, keputusan yang dilakukan TV3 untuk memendekkan durasi siaran daripada 45 minit kepada 39 minit mencabar tugas Redza sebagai pengarah.

"Satu minit sangat berharga bagi pekerja kreatif seperti kami kerana untuk tempoh itu saja banyak babak boleh digunakan untuk menampung dan memantapkan lagi jalan cerita. Kami juga dimaklumkan TV3 pada saat penggambaran selesai dijalankan 70 peratus.

"Justeru banyak babak dalam episod yang sudah siap terpaksa ditarik semula. Walaupun sedikit terkilan, kami melihat ia sebagai satu cabaran dan diharapkan ia tidak menjejaskan jalan cerita Spa Q," katanya.

Datuk Rohani kejayaan peribadi Eja

LAKONANNYA membabitkan 20 babak saja. Namun, kemunculan Siti Shahrizah Saifuddin, 36, atau Eja sebagai Datuk Rohani pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada penonton khususnya wanita.

Secara peribadi, watak Datuk Rohani melakar kejayaan peribadi buat Eja sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan yang diceburi sejak berusia 25 tahun.

"Selama 11 tahun saya berada dalam industri seni dan inilah kali pertama diberi watak wanita berpengaruh yang berpangkat Datuk. Sebelum ini kalau kita lihat, tidak banyak watak berpengaruh diberikan kepada pelakon wanita.

"Yang ada pun mungkin, Datin, Datin Seri atau Puan Seri. Saya sukakan watak Datuk Rohani kerana ia menunjukkan wanita juga boleh menjadi insan yang berpengaruh dan kuat. Menjiwai watak ini menuntut saya mendalami cara golongan ini berhadapan dengan orang ramai, intonasi ketika bercakap dan berjalan.

"Saya turut membuat perubahan pada penampilan dengan menggunakan jubah dan selendang yang bersesuaian dengan imej seorang Datuk. Kesempatan menjalani penggambaran bersama Datuk Siti Nurhaliza yang diundang sebagai penampilan istimewa Spa Q barubaru ini, turut membantu saya mendalami karakter Rohani," katanya.

Mengenai watak Datuk Rohani, dia adalah pelabur kepada Spa Q International, sementara, Qistina watak yang dilakonkan Norish Karman pemilik dan pengusaha Spa Q di Malaysia.

Seiring, pelbagai konflik yang berlaku dalam Spa Q, kehadiran Datuk Rohani menyebabkan pergaduhan antara Qistina dan kakaknya Marlia yang dilakonkan Azizah Mahzan.

Imaginasi Akek wujudkan Spa Q

TRANSFORMASI sebuah banglo kepada set sebuah spa bukan satu tugas yang mudah dan sebagai Pengarah Seni Mohamad Khairul Md Dan Akek), 33, perlu berimaginasi bagi merealisasikan kewujudan Spa Q.

Meskipun perubahan dilakukan bukan 100 peratus, sekurang-kurangnya penonton mendapat gambaran jelas bahawa apa yang dipertontonkan kepada mereka itu adalah sebuah spa.

Menurut Akek, RM20,000 dibelanjakan untuk mengubah wajah banglo itu, bagaimanapun kos berkenaan masih dianggap berpatutan kerana dia menggunakan barangan yang murah namun diubah suai untuk kelihatan mahal.

"Saya banyak membuat rujukan, tengok buku malah juga ke spa untuk mendapatkan mood Spa Q. Bagi saya menjadi pengarah seni kita perlu kreatif dan memahami kehendak pengarah.

"Suasana akan menjadi cantik apabila kita berani bermain dengan warna, pandai meletakkan susun aturnya, memilih perhiasan dan lampu yang sesuai dengan keadaan sekeliling.

"Untuk Spa Q, saya memilih warna yang berani namun, dalam pada masa sama masih mengekalkan keaslian sebuah spa. Pengubahsuaian yang dilakukan mengambil masa lebih kurang dua minggu," katanya.

Lapan tahun terbabit dalam bidang produksi, Akek acap kali bekerjasama dengan pengarah tersohor, Aziz M Osman menerusi sitkom dan filem arahannya, Kisah Kaisara, Puteri, Dunia Anita, Bong, Alamak Amy dan Senario Pemburu Emas Yamashita.

Dunia artistik ini memberi kepuasan kepadanya sehingga mengambil keputusan meninggalkan pekerjaan tetapnya dulu. Beberapa keperluan yang selalu dibawanya adalah masking tape, geber (playar lipat), pisau, gunting dan pen.

Iman guna konsep solekan baru

KEJAYAAN sesebuah drama terletak di tangan penonton. Menyedari komen penonton perlu diberi perhatian jurusolek, Osman Ali (Iman), 37, cuba mengetengahkan konsep baru dalam solekan Spa Q daripada tebal kepada bersinar.

"Kami mendapat banyak maklum balas daripada penonton Spa Q musim pertama yang tidak begitu menggemari solekan tebal dikenakan pada wajah pelakon walaupun ia adalah konsep sebenar bagi siri telenovela.

"Ramai orang yang tidak faham telenovela adalah drama yang mempunyai unsur teaterikal. Bagaimanapun, demi menghormati permintaan penonton, saya dan pengarah memutuskan untuk mengurangkan solekan tebal dan mengetengahkan konsep solekan yang bersinar.

"Untuk musim kedua ini juga, saya mengehadkan penggunaan rambut palsu supaya penampilan pelakon lebih `natural'," katanya.

Mendalami dunia solekan atas dorongan minat, Iman yang menceburi bidang ini sejak 13 tahun lalu membelanjakan wang lebih RM20,000 untuk membeli alat solek.

Dia juga memiliki berus `make-up' yang berharga RM2,000. Tidak melihatnya sebagai satu pembaziran sebaliknya penggunaan berus yang mahal mampu menghasilkan kesan yang cantik.

Kecenderungan Iman kini adalah untuk terbabit lebih banyak dalam pembikinan drama yang memerlukannya menghasilkan solekan kesan khas.

"Solekan kesan khas seperti kesan luka atau kemalangan memang susah untuk dibuat tetapi ia dapat memberi kepuasan jika hasilnya tampak asli.

"Dalam Spa Q ada beberapa babak memerlukan saya berbuat demikian antaranya wajah seorang pelanggan spa ini menggelupas kerana tersalah menggunakan produk. Antara cabaran lain yang perlu dihadapi jurusolek adalah untuk menjaga konti," katanya.

MINGGU DEPAN

Drama bersiri Radio Gaga arahan Murali Abdullah

>Profil

JUDUL : Spa Q

SALURAN: TV3

MASA SIARAN: 6.30 petang (Isnin hingga Khamis)

TERBITAN: Global Station Sdn Bhd

PENERBIT: Zaiton Mohd Jiwa

PENERBIT EKSEKUTIF: Redza Fahmy Suib

PENGARAH: Redza Fahmy Suib/ Feroz Khan Abdul Kader/ Hanafiah Sharif

PENOLONG PENGARAH: Bahri Umararif Bajuri/Maria Mat Lib

JURUKAMERA: Azri Izhar/Am, Izham

PENCAHAYAAN: M. Nor Saiful/Rizwan Ithnin

JURU AUDIO: Zamir Bahauddin/Zamarulkhairi

PEMBANTU TEKNIKAL: Azhar Abu/Zaidan Ismail

SOLEKAN/SOLEKAN KESAN KHAS: Osman Ali/Ahmad

PROP MASTER: Mohamad Khairul Md Dan/ Mohd Yusmishahfizar Yusof

KONTI: Wan Norfaizah Omar/ Salma Daniel/Rahayu Hamid

KOORDINATOR PAKAIAN: June Yeoh/Wan Mazlina Omar/ Norazila Nin

PENGURUSAN PRODUKSI: Yusrizan Yunus/Nik Azli

PENERBIT PENYELARAS: Zetty Alia Ramly

PELAKON

Norish Karman - Qistina

Azizah Mahzan - Marlia

Zafrul Nadzarin - Zaefrul

Fazren Rafi - Dafi

Zaris Nellydya - Melisa

Nisha Dirr - Tania

Khairil Anuar - Helmi

Faradhiya - Julia

Liza Abdullah - Zalina

Zizie Ezette - Norell

Sharifah Sofea - Lola

Jasmin Hamid - Datin Sofira

Fauziah Ghouse - Eryana

Siti Sharizah - Datuk Rohani

Faizal Yusuf - Shah

Zarina Zainuddin - Datin Seri Anum

Erynn Erynna - Anis

Penampilan Khas:

Datuk Siti Nurhaliza Taruddin

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 1 times.

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy