Headline: Tuah filem hitam putih
Publication: HM
Date of publication: Aug 11, 2008
Section heading: Rentak Artis Popular
Page number: 08
Byline / Author: Oleh Elrafaei Sapi


JANGKAAN ramai, filem Anak Halal yang mendominasi 12 pencalonan dalam 24 kategori dipertandingkan pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung kelmarin meleset apabila Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) memberi kejutan selaku pemenang.

Meraih lima anugerah termasuk Pengarah Filem Terbaik dan Filem Terbaik, Mamat Khalid berjaya membuktikan filem berkonsepkan hitam putih itu diiktiraf juri profesional berdasarkan hasil kerja yang ditunjukkan. Sungguhpun filem berkenaan yang ditayangkan pada awal tahun ini sekadar mencatat kutipan setengah juta akibat kurang sambutan penonton, namun ia tidak mempengaruhi juri untuk menilai filem itu dengan lebih mendalam.

Dibintangi Rosyam Nor dan Umi Aida sebagai pelakon utama, Mamat mengakui filem KMBM yang membawa genre misteri komedi memberikan cabaran berbeza berbanding filem sebelumnya. Katanya, penggambaran filem berkenaan suatu yang merumitkan dan memerlukan penelitian terhadap setiap adegan.

Mamat yang tampil berbaju Melayu ketika menerima anugerah merasakan segala usaha dan penat lelah dalam menghasilkan filem ini terbalas. Kejayaan KMBM juga dicatatkan menerusi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik (Rosyam Nor), Penataan Seni Terbaik (Nazrul Ashraff) dan Pereka Kostum/Busana (Nasirah Ramlan).

"Sebagai pembikin filem, saya dapat mengagak filem ini mampu meraih kemenangan jika dirujuk pada kepayahan dalam menyiapkan filem ini. Malah kemenangan ini menandakan juri faham dengan kerja dan pengorbanan kami selama ini.

"Sebenarnya, penggambaran filem ini suatu yang sukar memandangkan setiap adegan perlu dirakam menggunakan tiga medium berbeza iaitu polaroid, digital dan filem. Tujuannya untuk mendapatkan warna yang kontra dan sesuai dengan konsep hitam putih filem ini.

"Bagaimanapun, saya merasakan kemenangan ini berbaloi dan cabaran filem ini disambung menerusi Estet yang membabitkan 700 pelakon untuk pelbagai adegan termasuk menari dan berlakon," katanya.

Mengulas kemenangan KMBM, ketua juri iaitu Panshah berkata penilaian 13 juri profesional yang bertanggungjawab dalam menilai filem bertanding dilakukan dengan jujur. Katanya, proses penjurian tahun ini berbeza apabila juri menonton setiap filem berkenaan berulang kali hingga mencapai kata sepakat memilih pemenang.

"Ada filem yang ditonton hingga tiga kali supaya juri berpuas hati dengan keputusan memilih pemenang. Sejujurnya, memang sukar untuk juri memilih pemenang. Malah, persaingan antara filem yang bertanding dalam Top 5 ini begitu sengit.

"Bagi juri, setiap filem yang bertanding mempunyai kekuatan dan kelemahan. Seperti KMBM, filem ini mempunyai kelebihan kerana menampilkan konsep hitam putih. Pada masa kini, semua orang mampu membuat filem warna tetapi berbeza dengan hitam putih.

"Setiap juri mempunyai kepakaran berbeza dalam membuat penilaian termasuk Kassim Masdor yang dijemput untuk mengadili kategori Lagu Tema Terbaik. Bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan kenyataan daripada Erma Fatima yang menyatakan Anugerah Khas Juri adalah anugerah kasihan atau sedekah.

"Sebenarnya, penganjur menyediakan lima kuota untuk anugerah berkenaan tetapi hanya empat diberikan pada malam ini. Pemberian anugerah ini pula berdasarkan kriteria sesebuah filem dan juri tidak bersikap mahu menjaga hati dalam memilih pemenang," katanya.

1957 Hati Malaya dipilih menerima anugerah ini atas elemen kemerdekaan yang ditampilkan diikuti Pensil yang mengetengahkan kehidupan orang kurang upaya, Wayang pula menyemai budaya Melayu yang semakin pupus manakala Evolusi KL Drif menampilkan keberkesanan aksi lasak di layar perak.

Tidak ketinggalan, lima Anugerah Khas disampaikan iaitu filem Duyung yang mencatat kutipan box-office sebanyak RM4.679 juta, Anugerah Belakang Tabir untuk Adam Meon atau M Shahdan dan dua Anugerah Veteran Lelaki dan Wanita yang diberikan pada Abd Wahid Ahmad atau Wahid Satay dan Ruminah Sidek.

Sebelum itu, Ruminah mencatat kejayaan menerima Anugerah Pembantu Wanita Terbaik menerusi Pensil. Hans Isaac pula yang mula terbabit mengarah filem pertama Cuci akhirnya berbangga dengan pencapaian dua anugerah iaitu Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Harapan.

Turut mencuri tumpuan, kemenangan pelakon I'm Not Single, Lisa Surihani menerusi Pelakon Harapan Wanita dan Kamaruzaman Taib (1957 Hati Malaya) untuk kategori lelaki. Congkak juga membawa pulang satu anugerah apabila Erynne Erynna memenangi Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik. Ketiga-tiga pemenang ini menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.

Pengarah Anak Halal, Osman Ali tetap pulang dengan Anugerah Cerita Asal Terbaik bersama wang tunai RM20,000 dan trofi di samping Maya Karin yang dipilih pemenang Pelakon Wanita Terbaik. Menyoroti perjalanan FFM21 pada tahun ini, masih ada kelemahan yang mencacatkan kesempurnaan malam anugerah ini.

Sejak awal FFM21 bermula, ramai karyawan seni yang terkandas di pintu masuk kerana datang lewat ditambah sebilangan artis yang membuat persembahan tidak menampakkan persediaan. Hanya beberapa persembahan yang menarik perhatian penonton seperti Datuk Siti Nurhaliza yang menyampaikan lagu Hapuslah Airmatamu, Sabar Menanti dan Hati yang ditujukan khas untuk segmen memperingati jasa karyawan seni yang meninggal dunia.

Gandingan Bob Lokman dan Linda Onn sebagai pengacara melancarkan atur cara majlis di samping barisan penyampai anugerah seperti Datuk Yusof Haslam, Datin Rosnani Jamil, Kassim Masdor, Salih Yaacob, Raja Azura, Khairil Rashid, Aziz M Osman, Nasha Aziz, Badaruddin Azmi, Shuhaimi Baba, Saiful Apek, Erma Fatima, Adnan Abu Hassan dan Diana Danielle.

Persembahan Erra Fazira bersama juara Raja Lawak 2, Nabil juga menghiburkan dengan sedutan adegan filem Tan Sri P Ramlee iaitu Ali Baba Bujang Lapok selain Misha yang mendendangkan Hati Yang Rapuh petikan filem Hati Bukan Kristal.

Di sebalik penganjuran FFM21, malam anugerah ini masih mendapat sokongan karyawan seni yang hadir. Biarpun tidak dicalonkan, sokongan pada majlis ini seharusnya berterusan.

Di samping itu, penganjur juga harus melakukan post mortem dalam menilai kembali kelemahan yang ada sambil mencari formula baru agar penganjuran malam anugerah seperti ini menepati temanya. Paling bermakna, hadiah wang tunai untuk setiap pemenang menjadi galakan agar memberi hasil kerja lebih baik selepas ini.

>Keputusan penuh pemenang

Anugerah Perdana:

Filem Terbaik

- Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM)

Pengarah Filem Terbaik

- Mamat Khalid (KMBM)

Pelakon Lelaki Terbaik

- Rosyam Nor (KMBM)

Pelakon Wanita Terbaik

- Maya Karin (Anak Halal)

Lakon Layar Terbaik

- Hans Isaac (Cuci)

Cerita Asal Terbaik

- Osman Ali (Anak Halal)

Sinematografi Terbaik

- Raja Mukhriz (Evolusi KL Drift)

Penyunting Terbaik

- Nik Haslinda & Kamarudin Abu (1957 Hati Malaya)

Skor Muzik Asal Terbaik

- Sharon Paul (1957 Hati Malaya)

Filem Animasi Terbaik

- World War (University Of Heftfordshire)

Filem Dokumentari Terbaik

- Making The Cut (Reel Network Sdn Bhd)

Filem Pendek Terbaik

- Tiffin (Chor Ai Lene)

Filem Digital Terbaik

- Jarum Halus

Anugerah Cipta

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik

- Zul Huzaimy Marzuki (Wayang)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik

- Ruminah Sidek (Pensil)

Penataan Seni Terbaik

- Nazrul Ashraff - KMBM

Penataan Bunyi Terbaik

- Add Audio (Susuk)

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik

- Erynne Erynna (Congkak)

Pengarah Harapan

- Hans Isaac (Cuci)

Pelakon Harapan Lelaki

- Kamaruzaman Taib (1957 Hati Malaya)

Pelakon Harapan Wanita

- Lisa Surihani (I'm Not Single)

Lagu Tema Asal Terbaik

- Hati (1957 Hati Malaya)

Pereka Kostum/Busana

- Nasirah Ramlan - KMBM

Poster Terbaik

- Susuk

Anugerah Khas Juri

1. 1957 Hati Malaya

2. Pensil

3. Wayang

4. Evolusi KL Drift

Anugerah Khas:

Box Office - Duyung

Di Belakang Tabir - Adam Meon atau M Shahdan.

Veteran Lelaki - Abd Wahid Ahmad atau Wahid Satay

Veteran Wanita - Ruminah Sidek

Ruminah Sidek

Anugerah Khas - Veteran Wanita

"Dalam hati, saya hanya orang kecil yang selama ini mungkin ada yang tidak pernah percaya dengan lakonan saya. Sungguhpun begitu, saya terus berlakon dan akhirnya berbaloi selepas menanti lebih 40 tahun. Saya berasa sangat gembira seperti di usia muda dan menjerit apabila diumumkan sebagai pemenang".

Hans Isaac

Pengarah Harapan dan Lakon Layar Terbaik

"Sememangnya saya terkejut dengan kemenangan ini dan menganggap usaha saya dalam filem ini berbaloi. Filem lain memberikan saingan yang kuat di sebalik filem komersial saya. Namun, saya mahu berkongsi wang kemenangan ini bersama tujuh kakitangan saya pergi bercuti selepas ini".

Lisa Surihani

Pelakon Harapan Wanita

"Saya tidak menjangkakan kemenangan ini kerana saya masih baru berbanding pelakon lain yang mempunyai banyak pengalaman lakon. Bagi saya, semua pelakon dalam kategori ini berbakat dan saya mahu belajar ilmu lakon daripada mereka".

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy