Headline: Ziana tak hilang `trademark'
Publication: HM
Date of publication: Apr 5, 2008
Section heading: Rentak Artis Popular
Page number: 08
Byline / Author: Oleh Norhadiani Baharom


KEMUNCULAN J'Lo (Jennifer Lopez) Malaysia, siapa lagi kalau bukan Ziana Zain, di sidang akhbar, sempena Minggu Setiausaha Rafflesia di Urban, Hotel Istana, cukup dinantikan pihak media.

Meskipun terpaksa menunggu giliran untuk menemu bual wanita cantik ini, mereka sedikitpun tidak berganjak asalkan dapat memperoleh berita terbaru mengenai penyanyi bersuara lantang yang kebelakangan ini jarang wajahnya menghiasi dada akhbar.

Ternyata, Ziana membawa perkhabaran gembira buat peminatnya apabila memaklumkan album terbarunya akan berada di pasaran sekitar Mei selepas empat tahun tidak muncul dengan sebarang produk.

Mei juga bulan bertuah buat Ziana kerana pada 2 Mei depan ibu kepada dua putera, Aiman, 8, dan Amar, 5, akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-40.

"Kalau boleh saya memang hendak keluarkan album ini secepat mungkin kerana bukan saja peminat merindui saya bahkan saya juga begitu dan tidak sabar menemui mereka kembali.

"Bagaimanapun, saya masih menantikan empat lagu dua dari Greg Anderson manakala dua lagi, Julfekar. Semuanya lagu rancak dan harap-harap dapatlah saya siapkan rakaman bulan ini juga agar membolehkan album ini dipasarkan Mei nanti," katanya.

Bagi mengisi penantian peminat, selepas muncul dengan album kompilasi tidak lama dulu penghibur ini kembali mengubat kerinduan peminat menerusi single Dingin ciptaan Azlan Abu Hassan dan Melara Jiwa (Ajai) yang kian rancak berputar di radio.

Album pengenalan yang memuatkan dua single termasuk minus one berada di pasaran sejak 25 Mac lalu. Diedarkan EMI Music dengan harga RM9.90 ini malah peminat boleh memuat turun nada dering dan `wallpaper' wajah terbaru Ziana.

Jelas Ziana, sudah menjadi satu ikutan masa kini baik artis solo mahupun berkumpulan, mengeluarkan album single terlebih dulu diikuti album penuh. Ia strategi untuk melihat sejauh mana penerimaan pendengar terhadap produk baru seseorang penyanyi itu.

"Melihat keadaan pasaran yang kurang memberangsangkan, jual album penuh belum tentu laku. Justeru kehadiran album single satu cara menguar-uarkan kemunculan artis itu bersama produk baru.

"Melaluinya, syarikat rakaman juga boleh mendapatkan modal menghasilkan album penuh. Bukan saja dari penjualan single tetapi juga perkhidmatan muat turun yang disediakan.

"Zaman saya dulu tak perlukan strategi pemasaran seperti ini kerana peminat masih membeli album yang asli walaupun ketika itu sudah wujud masalah cetak rompak.

"Namun, kecanggihan teknologi yang ada sekarang, peminat lebih gemar memuat turun lagu yang mereka gemari dari Internet daripada membeli album penuh. Jadi, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menarik semula minat mereka membeli album.

"Iaitu menghasilkan produk yang berkualiti serta memenuhi selera pendengar dan prosesnya tentu memakan masa panjang," katanya.

Kata Ziana, pendekatan seperti ini tidak hanya diamalkan negara ini bahkan di seluruh dunia. Maka dengan itu, dia juga tidak terlepas dengan tuntutan arus perdana.

Album berteraskan pop yang dikerjakan sejak setahun lalu turut memuatkan lagu Dialah Cintamu dan Dirimu Satu ciptaan Julfekar, Pawana (Sharon Paul), dan Cinta Agung (Ajai) yang ditujukan khas buat dua putera kesayangan.

Sebagai penyanyi berpengalaman, Ziana melihat haluan muziknya kali ini dan cara nyanyiannya di dalam album terbaru berbanding pengalamannya mula-mula merakamkan album Madah Berhelah sewaktu berusi 25 tahun.

"Dulu lagu yang saya nyanyikan ibarat roket, dari nada rendah terus tinggi dan tak turun-turun. Berbeza dengan komposer generasi baru kerana mereka lebih gemar menghasilkan lagu yang santai, menangkap tetapi masih mencabar kemampuan vokal.

"Untuk album terbaru saya, masih ada dua, tiga lagu yang bernada tinggi dan itu tidak boleh diubah kerana sudah menjadi trademark saya. Apa yang boleh katakan, penghasilan album ini lebih kreatif kerana mengetengahkan pelbagai genre.

"Ada sedikit `mood' lagu Indonesia tetapi saya melihatnya dari sudut positif. Bukan meniru sebaliknya harus menerima hakikat peminat sedang ghairah dengan lagu yang dibawa penyanyi dari seberang," katanya.

Bagi yang merindui Ziana, pada 16 April ini penyanyi yang sedang popular dengan lagu Dingin dan Mlara Rindu itu antara 13 selebriti popular yang menjayakan Minggu Setiausaha Rafflesia yang diadakan di Hotel Istana.

Sepanjang April ini, aktiviti Ziana agak padat dengan pelbagai undangan nyanyian, antaranya Jom Heboh, Anugerah MACP di Kuantan dan program rakaman Aidilfitri untuk RTM. Selain itu, sempena ulang tahunnya ke-40, Ziana akan berkampung dengan peminatnya di Port Dickson, Mei depan.

"Tawaran menjayakan Minggu Setiausaha banyak, cuma saya mahu memberi tumpuan sepenuhnya pada album. Lagi pun teringin juga hendak menyanyi lagu baru.

"Peluang menjayakan Minggu Setiausaha Rafflesia ini pun saya ambil kerana hanya perlu menyanyikan satu lagu. Bukan itu saja tahun ini saya juga tiada perancangan untuk berlakon.

Berhubung isu kenyataan adiknya (Anuar Zain) rela dicium dan membenarkan peminat duduk dipangku sempena showcase, A Nite with...Anuar Zain pada 2 Mei nanti, Ziana ternyata terkilan kerana hal ini diperbesar- besarkan.

"Antara satu kenapa Anuar tidak mengambil tawaran menjayakan Minggu Setiausaha kerana dia lebih menitik beratkan persembahan yang dekat dengan peminat. Apa yang dimaksudkan Anuar itu (dicium peminat) bukan ertinya dia mahu melanggar etika seorang Islam.

"Sebaliknya melihat hal ini sebagai cara menghargai peminat. Dulu dia kurang selesa dengan keadaan itu tetapi sebagai artis takut bila kita larang peminat dikatakan sombong jadi Anuar positif dan berasa harus lebih terbuka.

"Tapi, niat hatinya disalahertikan dan orang yang membesarkan isu ini sengaja mahu menyakiti hati orang lain. Soal demanding pula, kalau penganjur sanggup melabur berjuta kepada artis antarabangsa walaupun taklah sebagus mana kenapa tidak artis tempatan?

"Kalau dia demand sekalipun bersesuaian dengan mutu persembahannya yang menampilkan pemuzik yang bagus. Kalau ikutkan, banyak lagi hak artis tempatan yang tidak terbela misalnya royalti hasil siaran ulangan di televisyen tapi rasanya sekali pun saya tidak pernah dapat.

"Mungkin sebelum ini, ia tidak pernah dibangkitkan, lalu bila Anuar mula memandang serius hak artis yang juga termaktub dalam undang-undang, ramai pula kurang senang keprihatinannya," katanya.

> Profil

NAMA: Siti Roziana Zain

PANGGILAN: Ziana

TARIKH LAHIR: 2 Mei 1968

UMUR: 40 tahun

TEMPAT LAHIR: Merlimau, Melaka

BINTANG: Taurus

SUAMI: Armin Zaharin

ANAK: Muhammad Aiman, 8, dan Muhammad Ammar, 5

ANTARA FILEM: Sembilu 1 dan 2, Merah, Kabhi Khusri Kabhi Igam dan Sembilu 2007

DRAMA: Cermin Pada Bulan dan 4 Diva Sekampung

KOMERSIAL: Jurucakap produk seperti NutriBeaute, L'Oreal, Vono (2001), Omega (1997), Nutrimetics (2004) dan Slim World Beauty House (2004)

PENCAPAIAN: Pemenang tempat pertama pada pertandingan Voice of Asia di Kazakhstan pada 30 Julai 1995 dan Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH 1995

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy