Headline: Hadiah Siti kurang mantap
Publication: HM
Date of publication: Feb 25, 2008
Section heading: Rentak Artis Popular
Page number: 07
Byline / Author: Oleh Rudy Imran Shamsudin


PELBAGAI komen diberikan pendengar membabitkan album terbaru dihasilkan Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin, 29, atau lebih mesra dengan panggilan Siti iaitu Hadiah Daripada Hati (HDH).

Kebanyakan peminat setia Siti berasakan HDH yang terbaik pernah dihasilkan penyanyi yang mula melonjak namanya menerusi lagu Aku Cinta Padamu.

Sejak dipasarkan Oktober lalu sambutan diberikan peminat amat menggalakkan. Tambahan pula single pertama Ku Mahu kini sedang mendaki carta lagu popular di beberapa stesen radio popular.

Begitupun, ramai pemerhati industri muzik tempatan beranggapan album HDH kurang mantap berbanding album Transkripsi terutama membabitkan produksi dan susunan lagu.

Ketika dihubungi baru-baru ini, Siti mengakui bukan mudah untuk penyanyi sepertinya mudah mempertahankan sesuatu yang sudah digemari peminat seperti album Transkripsi

"Tambahan pula Transkripsi turut mendapat pengiktirafan dengan memenangi anugerah utama Album Terbaik di majlis Anugerah Industri Muzik tahun lalu.

"Namun, sebagai penerbit album dengan syarikat sendiri, kami bertungkus lumus menghasilkan yang terbaik. Ibarat kata pepatah alah bisa tegal biasa. Memang ada pihak akan cuba membandingkan album HDH dengan album terdahulu.

"Begitupun, maklum balas diberikan daripada peminat saya sendiri amat baik. Mereka tahu dan memahami apa yang cuba saya tampilkan dalam album terbaru ini," katanya.

Siti turut menafikan album HDH dilakukan secara tergesa-gesa dan menjelaskan proses bagi mencari lagu untuk dimuatkan di dalam album itu sudah lama dilakukan.

"Cuma ada satu atau dua lagu saja yang baru. Hendak diikutkan pada peringkat awal seperti yang saya katakan sebelum ini, pihak syarikat Siti Nurhaliza Production mahu merakamkan album tradisional tetapi sayangnya kami kekurangan material.

"Bagi memastikan masa tidak terbuang begitu saja jadi pihak saya beralih ke proses pembikinan album pop pula.

"Dalam HDH saya gabungkan pelbagai jenis muzik pop, bukan saja mengikut cita rasa orang luar tetapi mengikut kesesuaian vokal saya juga.

"Begitupun, sebelum ini ada pendengar yang mahu saya kekalkan cara nyanyian seperti dulu dan ada beberapa lagu yang dendangkan mengikut apa yang mereka inginkan.

"Ada juga antara lagu kedengaran seperti sentuhan muzik lama. Sengaja saya memasukkan lagu itu kerana golongan peminat saya dari segenap lapisan. Ada muzik baru yang ditampilkan bertujuan menarik perhatian peminat zaman sekarang.

"Pendek kata, segalanya ada dalam HDH. Cuma bila orang masih membayangkan Transkripsi, mereka masih membuat perbandingan.

"Banyak lagu menarik dalam album terbaru ini sebenarnya dan dari segi produksi keseluruhan saya tetap menitikberatkan kualiti. Secara peribadi album ini memberikan satu kepuasan bagi diri saya," katanya lagi.

Sebaik pulang daripada menunaikan ibadah haji, Siti sudah mula kembali melakukan aktiviti promosi album HDH seperti muncul dalam program televisyen dan radio juga bertemu peminat.

"Walaupun penampilan saya sekarang ini agak terhad disebabkan kesibukan jadual tapi saya tetap berusaha keras untuk menjayakan sebarang aktiviti promosi bagi memastikan ia dapat diterima peminat," katanya lagi.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy