Headline: Bosan cara lama
Publication: HM
Date of publication: Aug 28, 2007
Section heading: Rentak Artis Popular
Page number: 04
Byline / Author: Oleh Norhadiani Baharom


MASIHKAH anda ingat lakonan hebat Ziana Zain menerusi drama Cermin Pada Bulan yang ditayangkan TV3 sempena Aidilfitri, dua tahun lalu?

Tentunya anda masih ingat kerana siapa yang mampu melupakan lakonan hebat Ziana sebagai anak derhaka dan isteri yang curang sehingga tergamak meninggalkan keluarganya.

Kehebatan drama arahan Erma Fatima itu terus diperkatakan penonton sehingga TV3 melakukan ulang tayang.

Menyedari dia mampu memperoleh kepuasan maksimum melalui drama, penyanyi bersuara lantang itu sekali lagi memberi persetujuan untuk terbabit dalam pembikinan drama khas raya tahun ini.

Pun begitu, Ziana, 39, enggan dibelenggu karakter sama dengan membawakan watak air mata, sebaliknya memilih genre komedi sebagai percubaan.

"Saya inginkan kelainan dalam lakonan dan tidak mahu statik dengan satu watak saja kerana selain suka mencuba sesuatu yang baru, saya juga yakin mampu mempelbagaikan karakter.

"Apatah lagi, sebelum ini saya sering disogok dengan watak air mata. Saya tidak mahu peminat merungut asyik membawa watak sama apatah lagi pembabitan saya dalam drama amat terhad.

"Maklumlah, saya terlalu sibuk menguruskan karier dan rumah tangga hingga tidak punya masa untuk berkecimpung secara serius.

"Memandangkan saya hanya menerima tawaran berlakon drama untuk program khas seperti hari raya, justeru saya harus memastikan watak yang diambil punya kelainan dan mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

"Oleh kerana itulah saya memilih membintangi drama komedi 4 Diva Sekampung terbitan TV3," katanya ketika ditemui di Finas sempena rakaman Nite Of Soulful Stars Raya Special terbitan ntv7.

Tambah Ziana, apa yang menarik mengenai drama ini ialah mengenai kehidupan yang digambarkan begitu dekat dengan dirinya sebagai seorang artis.

"Drama 4 Diva Sekampung arahan Din CJ, menceritakan tiga sahabat dalam perjalanan membuat persembahan di ibu kota. Bagaimanapun, mereka tersesat sehingga berlaku pelbagai insiden yang melucukan.

"Dek kerana pelbagai rintangan terpaksa mereka hadapi, impian ke empat-empat gadis itu untuk membuat persembahan di ibu kota musnah dan akhirnya mereka terpaksa pulang ke kampung semula.

"Apa yang menarik, selain Ezlynn dan Hetty Sarlene, seorang lagi pasangan saya dalam drama ini adalah Mas Idayu. Aduh! Cuba anda bayangkan betapa gamatnya penggambaran drama itu nanti.

"Penggambaran drama itu sudah bermula dan ia dilakukan di Sekinchan, Selangor. Drama ini saya ibaratkan sebagai hadiah raya buat peminat," katanya.

Ditanya bilakah dia akan muncul sekali lagi di layar perak selepas filem Qabil Khushry Qabil Igam (QKQI) yang dibintanginya dua tahun lalu mendapat sambutan hangat penonton, Ziana memberitahu, dia hanya bersedia melakukannya tahun depan.

"Tahun ini mungkin tidak sempat kerana saya mahu memberi tumpuan kepada pembikinan album terlebih dulu.

"Insya-Allah, tahun hadapan saya akan membintangi sebuah filem. Apa judulnya dan siapa pengarahnya, tunggu dulu kerana saya masih belum memberi kata putus," katanya.

Beralih kepada pembikinan album terbarunya, Ziana sudah selesai merakamkan tujuh lagu iaitu lima balada dan dua lagu rancak.

"Satu lagu lagi akan dirakamkan tidak lama lagi dan masih dua lagu lagi. Untuk album kali ini, saya mahukan sesuatu yang segar dan mampu menyerlah `attitude' dalam nyanyian.

"Misalnya untuk lagu rancak saya inginkan lagu berkonsepkan funky atau progresif pop seperti yang dibawakan penyanyi Barat, Kelly Clarkson.

"Ini kerana dalam usia sebegini, ditambah pengalaman 17 tahun menyanyi, saya sudah bosan membawakan lagu sama dan perlukan lagu yang memperlihatkan kematangan vokal selain sesuai dibawakan di majlis persembahan," katanya.

Tidak seperti adiknya, Anuar Zain yang mendapatkan 80 peratus khidmat komposer Indonesia untuk penghasilan album terbarunya, Ziana pula lebih selesa menggunakan kepakaran anak tempatan.

"Walaupun kami adik-beradik, saya dan Nuar (Anuar) dua insan yang berbeza, bahkan citarasa dan pendapat juga tidak sama. Malah, saya akui Nuar sangat teliti dan mahukan segalanya sempurna.

"Bukan saya tidak serius atau tidak komited dengan kerja, tapi saya jenis ringkas, asalkan melodi lagu sedap, `catcy', mengikut peredaran semasa dan sesuai dengan vokal, itu sudah memadai.

"Lagipun, untuk apa saya menggunakan khidmat komposer Indonesia sedangkan tona suara saya tidak sesuai dengan lagu mereka. Lainlah Nuar, vokalnya memang secocok dengan lagu sebegitu.

"Yang pasti, saya masih yakin negara kita mempunyai ramai komposer yang hebat. Nama besar yang terbabit dalam pembikinan album ini ialah Ajai, Azlan Abu Hassan, Greg dan Mc Chew. Manakala Sharon Paul dan Audi Mok pula pengalaman pertama saya bekerja dengan mereka," katanya.

Antara lagu yang terkandung dalam album belum berjudul ini ialah Pawana ciptaan Sharon, Melara Jiwa (Ajai) dan Dingin oleh Azlan Abu Hassan.

Difahamkan, bingkisan terbaru Ziana diterbitkan syarikat rakamannya sendiri, Ziq Zag Beat Sdn Bhd dan penyanyi itu melaburkan kira-kira RM200,000.

"Saya sudah tidak mampu menunggu kerana peminat sudah lama menantikan kemunculan album baru ini. Bahkan saya sendiri tidak sabar untuk menyiapkan album baru ini.

"Ikutkan perancangan asal album ini sepatutnya sudah pun memasuki pasaran. Pun begitu, disebabkan masalah yang tidak boleh dielakkan pembikinan terpaksa ditangguh lagi.

"Justeru, daripada mengharapkan syarikat rakaman lain, saya terfikir apa salahnya saya menerbitkan sendiri album. Prosesnya lebih cepat selain saya punya hak untuk bersuara serta menentukan konsep yang diinginkan.

"Insya-Allah, jika tiada aral album ini akan dipasarkan penghujung September dan EMI selaku pengedar," katanya.

* Profil

NAMA: Siti Roziana Zain

PANGGILAN: Ziana

TARIKH LAHIR: 2 Mei 1968

UMUR: 39 tahun

TEMPAT LAHIR: Merlimau, Melaka

SUAMI: Armin Zaharin

ANAK: Muhammad Aiman, 7, dan Muhammad Ammar, 4

ANTARA FILEM: Sembilu 1 dan 2, Merah, Kabhi Khusri Kabhi Igam dan Sembilu 2007

DRAMA: Cermin Pada Bulan dan 4 Diva Sekampung

KOMERSIAL: Jurucakap produk seperti NutriBeaute, L'Oreal, Vono (2001), Omega (1997), Nutrimetics (2004) dan Slim World Beauty House (2004)

PENCAPAIAN: Pemenang tempat pertama pada pertandingan Voice of Asia di Kazakhstan pada 30 Julai 1995 dan Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH 1995

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy