Headline: Yang Kassim lakon filem Tamil
Publication: HM
Date of publication: Sep 17, 2007
Section heading: Rentak Artis Popular
Page number: 03
Byline / Author: Oleh Nor Akmar Samudin


KELEBIHAN Yang Alias Yusof Mohd Kassim (Yang Kassim), 40, yang boleh berbahasa Tamil, membuka peluang kepada pelakon bertubuh sasa itu membintangi filem Tamil terbitan syarikat produksi di India.

Pembabitan Yang Kassim dalam filem bertajuk 1977: The Rewritten History bermula apabila syarikat yang menerbitkan filem itu, RSK Picture, mencari pelakon Malaysia berbadan tegap, berpengalaman berlakon aksi lagak ngeri dan memiliki iras rupa lelaki Cina.

Pemilihan pelakon itu juga, kata Yang Kassim, mestilah sepadan karakter dan ketangkasan hero filem itu, Sarad Kumar, yang mempunyai ilmu seni mempertahankan diri. Disebabkan itu, pengarah filem itu, G N Dinesh Kumar perlu mencari pelakon yang tahan lasak kerana ia banyak membabitkan adegan pergaduhan.

"Dalam filem itu saya diberi watak bernama Qabil. Tetapi saya tidak boleh menceritakan lebih lanjut filem itu mengenai apa kerana itulah antara syarat Dinesh yang mahu semua pelakon merahsiakan jalan ceritanya.

"Filem itu menjalani penggambaran di India dan di sini. Sepatutnya filem itu sudah siap tetapi kerana kesibukan Sarad, maka penggambaran filem itu tertunda.

"Ini kerana industri filem Tamil yang dipanggil Kollywood memberi kebebasan kepada pelakonnya membintangi tiga empat filem sekali gus. Di samping berlakon, Sarad juga baru saja menceburi dunia politik yang menambahkan lagi kesibukan hero ternama itu.

"Pengarah di sana terpaksa mengikut jadual dan kelapangan pelakon, bukannya pelakon yang terpaksa mematuhi jadual pengarah. Kollywood lebih banyak menghasilkan filem daripada Bollywood dan sebab itu pelakonnya sentiasa menjadi rebutan pengarah.

"Bukan sesuatu yang aneh apabila sesebuah filem di sana mengambil masa setahun untuk disiapkan. Mengikut jadual baru saya akan ke India untuk menyambung penggambaran filem itu pada penghujung September ini.

"Saya akan berada di sana selama seminggu. Penggambaran di negara ini sudahpun selesai hanya perlu menyiapkan baki adegan di India," katanya yang ditemui di lokasi drama 4 Diva di Sekinchan, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Yang Kassim, pada mulanya Dinesh mahunya bertutur dalam bahasa Inggeris dan menggunakan suara orang lain untuk dialog bahasa Tamil.

"Selepas Dinesh tahu saya fasih bahasa Tamil, akhirnya Dinesh tidak jadi menggunakan suara orang lain. Puas hati saya kerana akhirnya untuk keseluruhan babak lakonan menggunakan suara saya sendiri.

"Mereka perlukan pelakon Malaysia untuk tujuan pemasaran kerana mereka tahu filem Tamil mendapat sambutan hangat di sini. Perkembangan itu juga bagus untuk pelakon tempatan supaya produksi luar tahu yang Malaysia mempunyai ramai pelakon berbakat besar cuma tiada peluang untuk beraksi dalam filem luar negara," katanya.

Menyentuh kebolehan Yang Kassim berbahasa Tamil, jelasnya, moyang sebelah bapanya berasal dari India. Menambahkan lagi kemahiran Yang Kassim dalam bahasa itu, sebelum berlakon dia pernah menjadi pengurus Felda di Sepang, Selangor.

"Waktu itu semua pekerja ladang di sana buruh India yang berasal dari India dan mereka langsung tidak boleh bertutur bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pun mereka tidak faham. Jadi suka atau tidak saya terpaksa memahami percakapan mereka dan berusaha mempelajari bahasa Tamil.

"Lama-kelamaan saya fasih bercakap Tamil. Alhamdulillah, kelebihan itu membuka jalan kepada saya untuk berlakon filem luar negara," katanya.

Melihatkan wajahnya yang serius, siapa sangka Yang Kassim juga boleh berlakon komedi. Itulah kelebihan bakat pelakon seperti Yang Kassim yang mampu menjiwai pelbagai watak. Imej 'jambul burung' di dahi, Yang Kassim diberikan watak Cik Pah dalam drama raya, 4 Diva Sekampung, terbitan TV3.

Cik Pah meminati irama 60-an tetapi gemar memakai kemeja-T berimejkan rock serta berjiwa romantik. 4 Diva Sekampung adalah drama muzikal komedi dibintangi Mas Idayu, Ziana Zain, Hetty Sarlene dan Ezlynn di mana Ezlynn menguruskan artisnya, Ziana dan Mas Idayu. Hetty pula adalah pengurus pentas.

Suatu malam pada penghujung Ramadan mereka hendak ke Perlis untuk membuat konsert di sana tetapi akibat tersesat, mereka akhirnya terkandas di Kampung Serunai iaitu kampung Cik Pah. Diringkaskan cerita Cik Pah meminati Mas Idayu dan pada penamat cerita mereka berkahwin.

"Biasanya saya berlakon watak lasak tetapi kali ini diberi watak komedi. Sebagai pelakon profesional tiada masalah untuk mencuba pelbagai watak kerana yang penting kita kaji watak itu.

"Apabila kita dah tahu karakter watak itu dan ada perancangan, pasti kita boleh melakonkannya," katanya.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy