Headline: Industri filem, muzik tempatan merosot
Publication: HM
Date of publication: Dec 28, 2007
Section heading: Metro Plus
Page number: 06
Byline / Author: Oleh Rudy Imran Shamsudin


MENYOROT dunia hiburan tempatan sepanjang 2007, kontroversi membabitkan penggiatnya dilihat lebih menonjol berbanding perkembangan industri itu sendiri.

Tidak banyak boleh dibanggakan sama ada membabitkan industri perfileman mahupun muzik tempatan. Kedua-dua bidang itu menunjukkan kemerosotan amat membimbangkan, sekali gus tidak banyak menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

Kebanyakan penggiat melihat perkembangan industri perfileman tempatan sepanjang 2007 sangat lesu apabila daripada 26 filem ditayangkan hanya tujuh mencacat kutipan lebih RM2 juta.

Pulangan diterima filem mencatatkan keuntungan bagaimanapun tidak begitu besar jika dibandingkan dengan kos dikeluarkan penerbit.

Daripada tujuh filem, hanya tiga dianggap berjaya mengikut perangkaan dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), iaitu Jangan Pandang Belakang terbitan Metrowelth Movies (RM5.8 juta), Zombi Kampung Pisang (RM2.4 juta) dan Otai (RM3.5 juta).

Sementara tiga filem yang mencatat kutipan terendah berbanding kos dikeluarkan seperti Sumolah arahan Afdlin Shauki hanya mengutip RM1.2 juta sedangkan perbelanjaannya, termasuk promosi RM2.95 juta.

Sebelum ini, kerjaya Afdlin sebagai pengarah cukup meyakinkan apabila filem pertama arahannya Buli berjaya membuat kutipan lebih RM2 juta diikuti Baik Punya Cilok (RM2.6 juta) dan sekuel Buli Balik (RM2.5 juta).

Sambutan dingin diterima filem arahan Afdlin itu benar-benar membimbangkan penggiat industri perfileman tempatan.

Mereka tidak dapat membaca jalur filem yang diminati penonton kecuali bertemakan seram dan misteri.

Filem yang diarahkan pengarah Indonesia, Sharad Sharan dan diterbitkan bersama produksi tempatan Astro Shaw, Diva pula mencatat kutipan RM302,000 berbanding kos RM2.95 juta.

Tidak kurang juga ada antara penerbit mengambil langkah berani apabila menampilkan tema filem berbeza seperti animasi Budak Lapok yang menelan belanja RM2.59 juta. Sayang ia mencatat kutipan tiket paling rendah iaitu RM161,000.

Niat murni Pesona Pictures menampilkan filem sejarah mengenai kemerdekaan negara, 1957: Hati Malaya yang menelan belanja RM3 juta juga tidak mendapat sokongan apabila mengutip RM316,000.

Sesungguhnya filem itu mendapat pujian daripada pengkritik dan pemerhati filem tempatan.

Apapun kejayaan diraih filem Mukhsin terbitan Grand Brillance Sdn Bhd (GBSB) dan arahan Yasmin Ahmad di beberapa festival filem antarabangsa mampu mengubat kekecewaan penggiat filem, sekali gus meletakkan industri dalam peta perfileman dunia.

Mukhsin mula melakar sejarah pertengahan Jun lalu apabila memenangi dua anugerah utama di Festival Filem Antarabangsa Berlin, Jerman Ke-57.

Ia turut memenangi anugerah Cereka Filem Terbaik Asia Tenggara di Festival Filem Antarabangsa Cinemanila (FFA) dan Pingat Perak di Festival Netpac di Jogjakarta, Indonesia.

Sebelum 2007 menutup tirai, Mukhsin memenangi anugerah khas juri di Festival Filem 20th Castellinaris International Youth Filem Festival di Switzerland, 12 Disember lalu.

Industri muzik tempatan pula masih terus dicengkam masalah sambutan lesu peminat terhadap karya terbaru dihasilkan artis tempatan. Malah, ia turut membabitkan penyanyi paling popular seperti Mawi dan Datin Seri Siti Nurhaliza.

Mengambil contoh album Prasasti Seni dihasilkan Siti pada 2005 mencatat jualan 100,000 unit namun album Transkripsi yang dipromosikan sepanjang 2007 hanya terjual 80,000 unit.

Selepas muncul juara Akademi Fantasia musim ketiga, album koleksi nyanyian Mawi dalam rancangan realiti itu berjaya dijual lebih 200,000 unit. Ramai menganggap ia satu petanda baik.

Begitupun kehangatan Mawi tidak bertahan lama apabila album terbarunya 1 dalam 1000 dipasarkan pertengahan 2007 hanya mencatat jualan 40,000 unit.

Jualan album secara fizikal ternyata tidak lagi relevan dalam dunia teknologi terkini apabila pasaran digital secara perlahan-lahan mula mengambil peranan menjual karya dihasilkan.

Pendapatan yang diperoleh menerusi lagu yang dijual secara muat turun dari Internet dan telefon bimbit menyumbang pendapatan mencecah RM80 juta seperti yang dikeluarkan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Malaysia (MACP) dan diagihkan terus kepada komposer dan penulis lirik.

Ia secara tidak langsung menjejaskan pendapatan kebanyakan syarikat rakaman tempatan. Dalam usaha mencari jalan penyelesaian bagi meningkatkan pendapatan syarikat mereka mengambil jalan mudah dengan membawa masuk karya luar dari Indonesia dan Singapura.

Selain kos agak murah, sambutan baik diberikan pihak tempatan, terutama radio yang sering memutarkan lagu dari seberang menyebabkan kesannya diterima penyanyi tempatan.

Pengaruh kuat radio yang menyokong penyanyi luar itu secara tidak langsung turut menjadi faktor penyumbang kepada kelesuan industri muzik tempatan.

Penyanyi di sini terpaksa mengemis bagi mendapatkan penajaan mengadakan konsert mega.

Search pernah menyuarakan isu terbabit dan sebelum merancang mengadakan konsert menyambut ulang tahun ke-25 penubuhan mereka Januari lalu, kumpulan itu merayu agar ada penaja tampil membantu mereka. Sayangnya dipandang sepi.

Ironinya dalam waktu sama kumpulan Samson hadir untuk mengadakan konsert di KL Sentral mendapat tajaan besar, walaupun daripada sudut sambutan boleh dikatakan gagal.

Industri muzik tempatan sekali lagi memperlihatkan sokongan tidak berbelah bagi diterima kumpulan popular Indonesia, Dewa untuk mengadakan konsert bergerak di seluruh Malaysia.

Bagi mengabui mata dan mengelak kontroversi, penganjur konsert turut menjemput beberapa artis tempatan untuk mengadakan persembahan sebagai acara pembukaan.

Sedih kerana secara tidak langsung ia menunjukkan artis tempatan menjadi penyanyi kelas kedua di tanah air sendiri.

Kelangsungan industri semakin tenat itu bagaimanapun menampakkan sedikit 'cahaya' apabila beberapa kumpulan yang sebelum ini bergerak secara 'underground' mula menyertai aliran muzik komersial.

Menariknya muzik yang ketengahkan diterima baik, dan sebagai bukti lagu dihasilkan kumpulan seperti Estranged, Meet Uncle Hussein, Hujan dan One Buck Short banyak menjuarai carta lagu popular.

Mereka turut dijadikan taruhan untuk mengenepikan penguasaan penyanyi berkumpulan dari seberang bagi menghidupkan kembali industri muzik tempatan.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy