Headline: Hadiah hati Siti
Publication: MA
Date of publication: Dec 9, 2007
Section heading: Selebriti
Page number: 04
Byline / Author: Oleh Abie Abdullah


SEKALI pandang gambar ini, mungkin ada yang bersetuju dengan desas-desus Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin akan bertudung selepas mengerjakan ibadat haji tahun ini.

Gambar ini antara yang dirakam dalam sesi fotografi bagi kulit album terbarunya, Hadiah Daripada Hati yang bakal dilancarkan esok.

Usah cepat membuat keputusan kerana semuanya terpulang kepada gerak hati penyanyi tersohor itu. Biarpun ramai peminat ingin melihat Siti tampil dengan imej bertudung selepas ini, namun penyanyi yang kini dikenali melalui lagu Menanti Pasti itu tidak berani memastikannya.

"Sudah lama Siti memasang niat untuk memakai tudung, tetapi biar Siti dan Allah saja yang tahu. Perkara ini bukan boleh main cakap saja kerana bertudung bukan main-main, hari ini pakai esok buka. Tengoklah perkembangan Siti sekembali daripada mengerjakan haji nanti.

"Kalau Siti bertudung sekalipun, Siti tetap dengan karier sekarang. Siti akan sesuaikan dengan keadaan. Siti tidak rasa imej bertudung itu mengganggu perjalanan seni Siti, cuma ia tidak seperti dulu. Lagipun peminat tahu Siti mengurangkan aktiviti seni sejak berkahwin," kata Siti yang berangkat ke Makkah pertengahan minggu depan.

Berkaitan gambar kulit album, kata Siti, ia secara kebetulan. Baju yang disertakan 'hook' (tudung) itu bukan satu-satunya pakaian yang disediakan syarikatnya. Beberapa helai lagi dicuba untuk memastikan penampilannya bertepatan dengan konsep Hadiah Daripada Hati.

Siti antara mereka yang bertindak selaku penerbit Hadiah Daripada Hati, berkata album solonya ke-12 masih mengekalkan konsep pop komersial dan menampilkan 11 lagu, termasuk dua runut bunyi - Hati dan Ku Mahu yang dinyanyikan masing-masing untuk filem 1957: Hati Malaya dan drama Spa Q.

Hampir tiga bulan dia menunggu lagu, tetapi rakaman hanya mengambil masa seminggu. Katanya, album ini mengekalkan formula Transkripsi yang menampilkan komposer Malaysia dan Indonesia. Cuma kali ini ditambah satu lagu daripada karyawan Singapura, Dick Lee berjudul Mulanya Cinta yang dinyanyikan Siti ketika pementasan P Ramlee The Musical.

Bagaimanapun, kata Siti, peratusan lagu dari Malaysia lebih banyak. Adakah ini antara langkah untuk menepati syarat ke Anugerah Industri Muzik 2008 tahun depan? Lebih-lebih lagi ia dilancarkan esok, sebelum tarikh tutup penyertaan anugerah itu penghujung tahun ini.

"Itu Siti tidak pasti, semuanya strategi syarikat. Kalau layak masuk, Siti ikut saja," katanya.

Selain dua lagu yang diperdengarkan kepada peminat, Siti sukar memilih yang mana satu lagu yang terbaik menepati jiwanya. Sebaliknya, isteri usahawan terkemuka, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini menyerahkan penilaian itu kepada peminat.

Namun selepas `didesak manja', Siti mengakui menyukai lagu balada Melawan Kesepian ciptaan Pongky Barata yang sebelum ini memberinya lagu moderate Seindah Biasa untuk album Transkripsi.

Berbalik kepada karya Indonesia yang pernah membangkitkan kontroversi, terutama album terbaru Anuar Zain baru-baru ini, Siti menyifatkan pengambilan lagu dari seberang bukan tindakan menganaktirikan komposer tempatan.

Sebaliknya, Siti mahukan formula yang turut digunakan untuk Transkripsi membuahkan hasil.

"Peminat mahu mendengar lagu pelbagai sentuhan. Mendengar lagu Indonesia sudah kebiasaan, tetapi tidak salah untuk kita belajar. Selera peminat berbeza-beza dan Siti perlu utamakan peminat yang membeli album, biar berbaloi dengan wang yang mereka belanjakan.

"Macam Abang Nuar (Anuar Zain), dia mahukan kelainan dan percubaannya berjaya. Kita tidak berniat membelakangkan karya tempatan," katanya yang belum memikirkan persiapan untuk Anugerah Juara Lagu ke-22 yang bakal diadakan Januari depan.

Malah, katanya, biarpun Anuar diheret ke kancah kontroversi, Siti tidak serik mengambil lagu ciptaan komposer Indonesia. Dia tahu apa yang dilakukannya.

Hadiah Daripada Hati turut menampilkan ciptaan Audi Mok, Aubrey Suwito, Azlan Abu Hassan, Sharon Paul, Cynthia Lamusu, Muhamad Fahmi dan Taufik.

"Siti cuba juga buat lagu, tetapi belum dapat idea. Lirik pun tidak sepenuhnya, Siti cuma ubah-ubah perkataan untuk sesuaikan dengan orang kita," katanya.

Mengenai haji, Siti sudah bersedia walaupun debaran di hatinya hanya Allah yang tahu. Pengalaman lima enam kali membuat umrah sebelum ini belum cukup untuk menghilangkan debaran itu.

"Tidak sabar pun ada. Terharu juga! Sebab impian Siti untuk mengerjakan haji sebelum usia 30 tahun diperkenankan Allah. Lebih bermakna pemergian ini bersama suami dan ibu," katanya yang akan berada di Tanah Suci dua minggu.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy