Headline: Lentera Timur
Publication: MA
Date of publication: Jan 4, 2009
Section heading: Selebriti
Page number: 025


LENTERA Timur album terbaru Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang kini ada di pasaran mengetengahkan konsep tradisional kontemporari.

Album ini sungguh bermakna buat Siti dan peminat kerana selepas kemunculan album Sanggar Mustika, Siti hanya menghasilkan album berkonsepkan pop selama beberapa tahun.

Kerinduan peminat akan terubat dengan penghasilan terbaru ini yang bermaksud lampu atau cahaya timur. Pemilihan tajuk itu memberi tugas kepada Siti untuk mengangkat muzik budaya bangsa dalam arus permodenan supaya terus menjadi cahaya kepada muzik nusantara atau timur.

Lebih bermakna, sembilan lagu dalam album ini dihasilkan menerusi bengkel Cipta Ekspres MACP-Berirama Malaysia Bersama Siti Nurhaliza di Port Dickson, pertengahan tahun lalu. Semua lagu itu dihasilkan dalam tempoh tiga hari oleh beberapa komposer dan penulis lirik ternama negara. Dua lagu lagi dipilih untuk dimuatkan dalam album itu, ciptaan Katon Bagaskara dan Pak Ngah menjadikan 11 lagu dalam album ini.

"Menjadi tanggungjawab saya juga untuk membantu komposer tanah air mengembalikan kemasyhuran lagu berirama tradisional. Sewaktu bengkel itu diadakan, saya berpuas hati dengan ciptaan mereka.

"Saya berharap Lentera Timur dapat mengembalikan kegemilangan industri muzik Malaysia. Kualiti menjadi keutamaan dalam semua aspek penerbitan album ini, termasuk menggunakan live strings bagi semua lagu.

"Walaupun lagu dalam album ini berentak tradisional, susunan muzik dibuat mengikut cita rasa zaman kini yang diberi sentuhan muzik moden. Namun, jati diri muzik dan penggunaan alat muzik tradisional dititikberatkan dalam penghasilan setiap lagu.

"Mengetengahkan muzik tradisional kontemporari, dia bukan saja dapat mengajak peminat baru atau remaja untuk mencintai muzik tradisional, malah dapat memberi sesuatu yang baru dalam lagu Melayu masa kini," katanya.

Lagu yang dimuatkan dalam album ini, Di Kayangan Kita (Johari Teh/Keon), Bintang Malam (Johan Nawawi/Amran Omar), Cinta Ini (Katon Bagaskara), Ada Masa Mata (M.Nasir/Ad Samad), Bulan Yang Mesra (Khairil Johari Johar/Zubir Ali), Seloka Budi (Adnan Abu Hassan/Azam Dungun), Rasa Antara Kita (Khairil Johari Johar/Zubir Ali), Senyum Minang Manis (Zul Mahat/Abot), Joget Menanti Kasih (S Atan/Habsah Hassan), Di Taman Teman (Fauzi Marzuki/Hairul Anuar Harun) dan Jelmakanlah Ayumu (Pak Ngah).

Album terbitan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd ini akan diedarkan Suria Records dalam bentuk cakera padat.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy