Headline: Siti raih 3 anugerah APM 2007
Publication: BH
Date of publication: Jun 9, 2007
Section heading: Main Section
Page number: 07
Byline / Author: Oleh Farihad Shalla Mahmud


SINGAPURA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin melakar sejarah apabila menang besar dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2007, di Stadium Tertutup Singapura, di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Siti mengungguli tiga anugerah, iaitu Artis Wanita Terbaik, Lagu Terbaik menerusi lagu berjudul Biarlah Rahsia dan Artis Wanita Paling Popular.

Siti mempertahankan gelaran Artis Wanita Paling Popular untuk tahun ketujuh berturut-turut apabila menewaskan saingannya termasuk artis popular Indonesia, Krisdayanti, Acha Septriasa, Rossa, Melly Goeslaw dan Audy.

Kategori itu juga disertai oleh artis tempatan iaitu Misha Omar, Ning Baizura, Ella, Jaclyn Victor dan Adibah Noor.

Turut mengiringi kecemerlangan Siti pada malam APM 2007 ini ialah penyanyi dan komposer, M Nasir yang memenangi trofi Artis Lelaki Terbaik dan penyanyi Noryn Aziz sebagai Artis Wanita Baru Terbaik.

Turut mengharumkan nama negara ialah Mawi yang memenangi dua kategori iaitu Artis Lelaki Popular dan Lagu Popular menerusi lagu Kian.

Kumpulan Sofaz juga membuat kejutan apabila muncul sebagai Kumpulan Paling Popular, sekali gus menewaskan nama besar lain seperti Dewa 19, Search dan Peterpan.

APM 2007 yang diadakan sejak 2000, adalah acara terbesar industri muzik Melayu serantau yang bertujuan memberi penghargaan kepada penggiat seni Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Ia juga melambangkan penyatuan penggiat seni tiga negara dalam menyumbang ke arah pembangunan muzik Melayu.

APM 2007 turut memberi pengiktirafan kepada Krisdayanti dari Indonesia sebagai penerima Anugerah Khas manakala penyanyi Zainal Abidin, menerima Anugerah Cinta Planet Muzik.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy