Headline: Penyertaan karyawan muzik Malaysia sedikit
Publication: BH
Date of publication: Apr 24, 2007
Section heading: Hip
Page number: 04
Byline / Author: Oleh Zul Husni Abdul Hamid


DARIPADA 420 keseluruhan pencalonan yang diterima untuk Anugerah Planet Muzik 2007 (APM'07), penganjur acara hiburan terbesar industri muzik Melayu menerima hanya 66 pencalonan daripada karyawan muzik Malaysia.

Sejak diperkenalkan tujuh tahun lalu, jumlah pencalonan karyawan muzik tempatan saban tahun menunjukkan penyusutan ketara. Kemerosotan bermula pada APM 2005 apabila jumlah pencalonan susut hampir 50 peratus apabila karyawan tempatan hanya menghantar 67 pencalonan, berbanding APM 2004 yang menerima lebih 100 pencalonan.

Tahun lalu, jumlah itu terus susut kepada 63 pencalonan, namun APM'07 menunjukkan peningkatan tipis dengan 66 penyertaan.

Situasi itu dilihat agak meruncing kerana Singapura yang pasaran industri muziknya lebih kecil berbanding Malaysia mampu menghantar 120 pencalonan, manakala Indonesia terus mendominasi pertandingan dengan 274 penyertaan.

Di mana silapnya? Apakah ia memberi petanda karyawan tempatan kurang yakin dengan hasil karya mereka hingga sanggup memberi laluan mudah kepada penggiat seni Indonesia untuk mendominasi APM'07?

Pengarah Urusan Beyond DDB/Beyond Events, Amin Hussen, apabila diajukan pertanyaan ini berkata, industri muzik Malaysia masih mampu mencipta kegemilangan jika mendapat sokongan padu semua pihak terutama syarikat rakaman.

"Semua ini bergantung kepada syarikat rakaman kerana mereka sewajarnya menolak ke depan karya yang dihasilkan. Kami sudah menjalankan tanggungjawab dengan mengedarkan borang penyertaan kepada semua syarikat rakaman.

"Terpulang kepada mereka untuk menyerahkan kembali borang itu bersama dengan pencalonan artis. Kami sendiri kurang pasti kenapa nominasi dari Malaysia semakin berkurangan. Sebaliknya, APM makin luas diterima di Indonesia dan tahun ini pencalonan daripada karya negara itu menunjukkan jumlah yang begitu memberangsangkan," katanya pada sidang media APM'07 di Maison, Heritage Row, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dominasi artis Indonesia pada APM'07 cukup ketara terutama bagi kategori Duo/Kumpulan Baru Terbaik dan Duo/Kumpulan Terbaik apabila kesemua finalis adalah penggiat seni dari negara itu.

"Kehadiran artis berkumpulan sebenarnya banyak memberi kelebihan kerana mereka boleh menghantar penyertaan untuk pelbagai kategori lain. Sayang kerana Malaysia tidak memiliki banyak band yang berpotensi untuk diketengahkan serta mampu bersaing dengan band dari Indonesia," katanya.

Jika mahu berbangga, Malaysia berupaya menyandar harapan kepada Datuk Siti Nurhaliza dan M Nasir yang masing-masing tersenarai dalam tiga pencalonan. Siti akan bersaing dalam kategori Artis Wanita Terbaik dan Album Terbaik, manakala lagunya, Biarlah Rahsia yang dicipta komposer Indonesia, Melly Goeslaw dicalonkan untuk Lagu Terbaik.

M Nasir pula dicalonkan untuk Artis Lelaki Terbaik, Album Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Juwita (Citra Terindah). Bakat baru, Noryn Aziz juga mampu menyerlah apabila meraih dua nominasi iaitu Artis Baru Wanita Terbaik dan Artis Wanita Terbaik. Selain Siti dan Noryn, kategori itu juga disaingi Jaclyn Victor dan dua penyanyi Indonesia, Agnes Monica dan Audy.

Turut tersenarai dalam Top 5 APM'07 ialah Izwan Pilus serta dua bintang Akademi Fantasia 4, Farhan dan Faizal yang bertanding untuk kategori Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Wanita Baru Terbaik.

Hanya nama ini yang membawa harapan besar negara untuk bersaing dengan karyawan popular Indonesia Dewa 19, Melly Goeslaw, Nidji, Kerispatih dan Samsons yang pernah mencipta kejayaan luar biasa di negara mereka.

"Mungkin juga syarikat rakaman kurang berkeyakinan kerana kebanyakan produk mereka lebih tertumpu kepada penerbitan album kompilasi. Keadaan itu turut menyumbang kepada penurunan jumlah pencalonan yang drastik.

"Syarat penyertaan untuk APM adalah yang paling fleksibel dan kami tidak pernah mendiskriminasi apa juga album asalkan penerbitannya memenuhi syarat," katanya.

Buat pertama kali, APM'07 yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Singapura pada 8 Jun depan memperkenalkan Anugerah Kemanusiaan sebagai penghargaan kepada artis yang berjasa dalam aktiviti sosial.

Amin berkata, pengaruh artis kini semakin besar malah mereka juga sudah bersedia untuk keluar dari pentas hiburan dan melangkah ke arena nasional dengan membantu isu sosial serta ekonomi yang semakin meruncing.

"Dengan adanya anugerah ini, APM'07 mengiktiraf sumbangan artis terbabit kepada masyarakat serta peranan yang dimainkannya dalam menyebarkan semangat kemanusiaan," katanya.

APM'07 mempertandingkan keseluruhannya 16 kategori iaitu lapan kategori terbaik, tiga anugerah terbaik khusus untuk penggiat seni Indonesia, empat kategori popular dan satu anugerah khas.

Antara artis yang akan membuat persembahan pada malam itu ialah Jaclyn Victor, Noryn Aziz, Altimate, Misha Omar, Estranged dari Malaysia, Taufik Batisah, Hady Mirza, Mawar Berduri, Syed Azmir (Singapura) serta Gita Gutawa, Letto, Glenn Fredly dan Krisdayanti (Indonesia).

Finalis APM'07

Artis Lelaki Baru Terbaik

Faizal AF4 - Best Of Faizal AF4

Imran Ajmain - Dengan Secara kebetulan

Irwansyah - OST Heart

Izwan Pilus - Erti Kasih

Artis Wanita Baru Terbaik

Acha Septriasa - Heart

Farhan AF4 - Best Of Farhan

Noryn Aziz - Alam Maya

Reika Roslan - Bercerita

Terry - Terry

Duo/Kumpulan Baru Terbaik

Kerispatih - Kerispatih

Letto - Truth, Cry & Lie

Nidji - Breakthru

Rea - 1/2 Gila

Samsons - Naluri Lelaki

Artis Lelaki Terbaik

Ari Lasso - Selalu Ada

Glenn Fredly - Aku & Wanita

Iwan Fals - Iwan Fals In Love

Marcell - Marcell

M Nasir - Sang Pencinta

Artis Wanita Terbaik

Agnes Monica - Whaddup A?

Audy - 2303

Jaclyn Victor - Inilah Jac

Noryn Aziz - Alam Maya

Siti Nurhaliza - Transkripsi

Duo/Kumpulan Terbaik

Dewa 19 - Republik Cinta

Kerispatih - Kerispatih

Letto - Truth, Lie & Cry

Samsons - Naluri Lelaki

Ungu - Melayang

Lagu Terbaik

Biarlah Rahsia

(Siti Nurhaliza) - Melly Goeslaw/Siti Nurhaliza

Cinta Terakhir

(Ari Lasso) - Irfan (Samsons)/Ari Lasso

Demi Waktu

(Ungu) - Enda

Juwita (Citra Terindah) (M Nasir) - M Nasir

Kenangan Terindah

(Samsons) - Irfan

Album Terbaik

Breakthru - Nidji

Kerispatih - Kerispatih

Naluri Lelaki - Samsons

Republik Cinta - Dewa 19

Sang Pencinta - M Nasir

Transkripsi - Siti Nurhaliza

Lagu Terbaik Singapura

Goda - Bhumiband

Kau - Merah

Sombong - Taufik Batisah

Sudah Tu Sudah - Imran Ajmain

Usah Lepaskan - Taufik Batisah

Artis Terbaik Singapura

Bhumiband

Imran Ajmain

Iskandar Ismail

Norazela Rosli

Sound Salvation

Album Terbaik Singapura

Dengan Secara Kebetulan - Imran Ajmain

Dengar Dan Lihat - Iskandar Ismail

Di Sini Menanti - Norazela Rosli

Konspirasi Dunia - Bhumiband

Wira Cosmo - Malex

Kategori popular

Artis Lelaki Paling Popular

Ajai

Awie

Faizal AF4

Glenn Fredly

Irwansyah

Iwan Fals

Hady Mirza

Marcell

Mawi

M Nasir

Once

Taufik Batisah

Artis Wanita Paling Popular

Acha Septriasa

Adibah Noor

Agnes Monica

Audy

Ella

Jaclyn Victor

Krisdayanti

Melly Goeslaw

Misha Omar

Ning Baizura

Rossa

Siti Nurhaliza

Kumpulan Paling Popular

Ahli Fiqir

Dewa 19

Gigi

Letto

Nidji

Peterpan

Pretty Ugly

Radja

Samsons

Search

Sofaz

Ungu

Lagu Paling Popular

Aku Ada Karena

Kau Ada

Radja

Biarlah Rahsia

Siti Nurhaliza

Demi Waktu

Ungu

Diari Seorang Lelaki

Pretty Ugly

Juwita (Citra Terindah)

M Nasir

Kenangan Terindah

Samsons

Kian

Mawi

My Heart

Irwansyah & Acha Septriasa

Sedang Ingin

Bercinta

Dewa 19

Sudah Tu Sudah

Imran Ajmain

Tak Ada Logika

Agnes Monica

Terlalu Istimewa

Adibah Noor

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy