Headline: (Sesuatu yang dicari peminat ... )
Publication: BH
Date of publication: Jan 10, 2008
Section heading: Hip
Page number: 04


ALBUM: Hadiah Daripada Siti

ARTIS: Datin Seri Siti Nurhaliza

GENRE: Pop

SESUATU yang dicari peminat setia penyanyi nombor satu negara ini adalah sebuah produksi yang dapat menyaingi album terdahulunya, Transkripsi.

Album yang diedarkan sebelum Siti mengakhiri zaman gadisnya itu meletakkan standard yang cukup tinggi dalam produksi album, apatah lagi jika ia dihasilkan menggunakan wang poketnya sendiri.

Seperti Transkripsi, Hadiah Daripada Siti juga menyaksikan penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu mempunyai sepenuh kuasa untuk menentukan hala tuju penerbitan album ini. Percubaan Siti untuk beralih daripada lagu balada yang selama ini menjadi identitinya apabila memilih sentuhan rancak, Ku Mahu ciptaan Audi Mok menampakkan hasil.

Lagu yang mempunyai nuansa muzik Latin yang dipetik daripada drama bersiri, Spa Q berjaya menyerlahkan sisi baru Siti. Irama yang segar pantas menangkap pendengaran meskipun hakikatnya, album ini turut menghidangkan beberapa lagu yang mampu memberi kekuatan sekali pun sukar untuk mencari sentuhan yang dapat menandingi lagu dalam Transkripsi.

Menyusuri keseluruhan album ini akan terasa kekurangannya. Biar berulang cuba diputarkan, ia masih membuat hati ini terus mencuba dan mencuba untuk mencari di mana letaknya kekuatan Hadiah Daripada Siti. Jika dalam Transkripsi, Siti mengimbangi antara rentak perlahan dan rancak, tetapi untuk album ini Siti lebih selesa dengan irama balada.

Tetapi maaf jika dikatakan andai Siti memperuntukkan masa yang lebih panjang, barangkali Hadiah Daripada Siti akan tampil lebih kemas dan meyakini. Malah, kekuatan vokal yang selama ini memberi kelebihan kepadanya kurang ditonjolkan dalam penerbitan album ini. Mungkin Siti mahu mencuba sentuhan yang lebih relaks, bersesuaian dengan peralihan usianya yang semakin menuju kedewasaan.

Melawan Kesepian adalah antara sentuhan menarik dalam album ini. Sentuhan sepenuhnya Pongky Barata mampu menjadi hits, begitu juga dengan sebuah lagi balada ciptaan Cynthia Lamusu iaitu Kerana Dirimu. Susunan muzik yang ringkas, namun tetap berjaya menyerlahkan kekuatan yang ada pada diri isteri Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini.

Memuatkan 11 lagu baru, Siti turut merakamkan semula lagu yang dinyanyikannya dalam teater muzikal, P Ramlee... The Life, The Loves & The Inspiration yang menyaksikan kemunculan pertamanya di pentas lakonan. Tidak dilupakan lagu Hati yang menjadi lagu tema kepada filem patriotik, 1957: Hati Malaya arahan Shuhaimi Baba.

Kata Hip

BARANGKALI Siti cuba membawa peminat untuk berlari bersamanya ke arah sisi baru selepas lebih sedekad melayari dunia nyanyian. Disebabkan itu, Siti memilih judul Hadiah Daripada Siti untuk mewakili apa yang ingin disampaikan kepada peminat setianya. Suara hati Siti yang ingin dikongsi bersama semua.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy