Headline: Penjurian AIM15 lebih telus
Publication: BH
Date of publication: Apr 7, 2008
Section heading: Hip
Page number: 03
Byline / Author: Oleh Farihad Shalla Mahmud


HAMPIR setiap tahun keputusan yang dikeluarkan anugerah industri muzik (AIM) tidak dapat lari daripada menjadi bahan pertikaian ramai.

Setiap kali diumumkan senarai pemenang, pasti ada saja pihak tidak berpuas hati lantas mendakwa mereka yang terbabit dalam penjurian anugerah itu sebagai tidak telus dan bersifat pilih kasih.

Selama 14 tahun menjalankan tanggungjawab itu, sepanjang itulah juga mereka yang berada di sebalik tabir aim terbabit dikecam hebat dan diperkotak-katikkan kredibiliti mereka.

Enggan perkara ini terus menjadi bahan pertikaian serta mahu mengambil langkah proaktif supaya karisma AIM tidak terus tercalar, sistem penjurian untuk aim ke-15 ini mengalami perubahan besar.

Jika sebelum ini juri yang membuat keputusan akhir tidak diumumkan tetapi untuk AIM15, penganjur mahu ketelusan mereka tidak dipertikaikan lagi.

Justeru, pengerusi Jawatankuasa penganjur AIM15, Freddie Fernandez, berkata mereka sebulat suara melantik komposer terkenal, Ramli MS sebagai ketua juri yang akan bertanggungjawab secara keseluruhannya untuk keputusan akhir kelak.

"Kami akan membuat perubahan dari segi penjurian. Undian secara pos dihentikan serta-merta. penjurian dijalankan secara dua peringkat.

"Pertama, pemilihan 10 senarai pencalonan terbaik akan diadili kira-kira 100 juri umum terdiri daripada penerbit, pencipta dan penggubah lagu, pengamal media, pemerhati serta pihak industri.

"Penjurian peringkat akhir diputuskan 60 juri profesional yang oleh Ramli MS," kata Freddie pada sidang media pengumuman senarai calon akhir AIM15 di ibu negara, baru-baru ini.

Kata Freddie, perlantikan itu bukan bermakna Ramli perlu menanggung bebanan atau pihak penganjur mengambil sikap lepas tangan tetapi kehadiran komposer itu adalah sebagai penampan sekiranya ada perkara berbangkit berlaku di kemudian hari.

"Selepas ini kalau ada yang masih mempertikaikan keputusan juri, Ramli yang akan menjawab segala persoalan itu. Terpulanglah bagaimana dia hendak mempertahankan keputusan yang diambilnya itu.

"Apa pun, saya harap pendekatan yang kami ambil ini dapat mengembalikan semula kredibiliti dan karisma AIM15," katanya.

Bagi AIM15, penganjur menerima sebanyak 576 pencalonan bagi 18 kategori yang dipertandingkan.

Siti kuasai pencalonan AIM15

MAMPUKAH album Hadiah Daripada Hati daripada Datuk Siti Nurhaliza mengulangi kejayaan Transkripsi pada AIM musim lalu sebagai album Terbaik AIM? Persoalan ini timbul apabila album terbaru Siti Nurhaliza mendominasi senarai pencalonan AIM15. Album Hadiah Daripada Hati dicalonkan dalam kategori Vokal Terbaik, Album Pop Terbaik, Kulit Album Terbaik.

Dalam kategori Lagu Terbaik, Siti menerima dua pencalonan, manakala untuk Susunan Muzik Terbaik penyanyi ini mendapat tiga pencalonan sekali gus.

Faizal Tahir juga menerima pencalonan agak tinggi. albumnya, Aku.Muzik.Kamu menerima enam pencalonan iaitu artis Baru Terbaik, Vokal Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Album rock Terbaik, Susunan Muzik Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Mahakarya Cinta.

Mungkin inilah hikmah di sebalik duka buat penyanyi ini kerana biarpun dihambat pelbagai kontroversi, namun di penghujungnya ada kegembiraan yang menanti.

Seperti biasa, tidak semua keputusan senarai akhir yang diumumkan dapat diterima ramai. Biarpun pihak juri mengatakan segala keputusan adalah muktamad namun tertanya-tanya juga apa sudah jadi dengan sebahagian daripada keputusan yang diumumkan.

Tertanya-tanya juga mengapa nama Liza Hanim tidak tersangkut untuk kategori persembahan Vokal Wanita Terbaik? apakah vokal penyanyi baru Karen Kong lebih hebat berbanding Liza sehingga melayakkannya menduduki senarai kategori terbabit?

Begitu juga kategori artis Harapan Terbaik yang menyaksikan tiga bintang AF5 iaitu Candy, Dafi dan Heliza tersenarai sedangkan juaranya tercicir. Apakah kriteria yang dicari juri untuk kategori ini? Apakah gelaran juara sebenarnya masih belum cukup buat Mila.

Sukar untuk dicari jawapannya. Apa pun, keputusan yang diumumkan adalah muktamad. Mungkin sudah menjadi nasib AIM yang keputusannya terus menjadi bahan pertikaian walaupun mereka mendakwa telus sewaktu mengadilinya.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy