Headline: Matta curi tumpuan peminat di Malaysia
Publication: BH
Date of publication: May 2, 2008
Section heading: Hip
Page number: 05
Byline / Author: Oleh Nurulhisham Abdul Latiff


HANYA kerana sebuah lagu berjudul Ketahuan, kini sebuah lagi kumpulan muzik dari Indonesia berjaya mencuri hati peminat di negara ini. Lalu, nama Sunu, Uwok, Igoy, Stay, Dicky dan Yudi sekarang kerap meniti bibir pencinta muzik, apatah lagi selepas album mereka yang diterbitkan Tropic Jaya Entertainment dan edaran PMP Entertainment itu mula memasuki pasaran Malaysia sejak September tahun lalu.

Di Indonesia sendiri, kumpulan ini bagai meninggalkan impak yang tidak kecil setelah album berkenaan terjual melebihi 200,000, manakala muat turun nada dering lagu Ketahuan juga sudah mencecah 1.2 juta. Di Malaysia, album mereka dilihat tidak menghampakan selepas terjual sebanyak 20,000 unit, termasuk CD dan VCD karaoke.

Sebelum lagu itu mendapat tempat di hati peminat, Ketahuan yang dicipta Sunu dan Ray 9 Ball pernah dinyanyikan semula oleh penyanyi dangdut, Uut Permatasari. Keadaan itu membuatkan sesetengah peminat keliru kerana menyangka Uut yang terlebih dulu mempopularkan lagu berkenaan.

Kata Sunu, mereka merakamkan album secara bebas pada 2006. Sayangnya, album itu tidak mendapat sokongan promosi yang baik sehingga lagu Ketahuan itu sendiri tidak mendapat pendedahan yang sewajarnya. Bagaimanapun, di tempat asal mereka, Bandung, ia sedikit demi sedikit mula mendapat perhatian.

Ketika itulah, lagu berkenaan dirakam semula oleh Uut dengan menggunakan konsep dangdut.

"Biarpun kami berasakan seperti mangsa rompakan, tetapi kami tidak meneruskan tindakan mengambil tindakan undang-undang apabila Matta bertindak menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap pihak yang merakam semula lagu berkenaan," kata Sunu yang memberikan alasan tidak mahu proses album kumpulan itu tergendala sekiranya kes itu diperbesar-besarkan.

Mereka juga bersyukur apabila lagu Ketahuan yang dirakam semula oleh mereka menggunakan pendekatan muzik berunsur kemelayuan itu nyata lebih diterima ramai berbanding versi dangdutnya.

Peristiwa lagu diciplak orang sedikit sebanyak berbekas di hati anggota kumpulan ini. Meskipun begitu, mereka tidak berasakan pengalaman itu menghalang mereka daripada menyumbangkan karya untuk artis lain pada masa depan.

"Insya-Allah, selagi kami diberikan ilham oleh Tuhan untuk terus berkarya dalam dunia kreatif ini, kami tidak mempunyai apa-apa halangan untuk menyumbangkan lagu buat penyanyi atau kumpulan lain," kata Sunu yang ditemui pada majlis sidang akhbar kumpulan itu di Planet Hollywood, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada sebelah malamnya, mereka muncul pula dalam sebuah persembahan khas dan turut kelihatan menonton persembahan Matta pada malam itu ialah artis baru Diana Danielle serta beberapa penyanyi tempatan. Difahamkan, kehadiran Diana ada kena-mengena dengan kolaborasi antara dua artis ini pada masa depan.

Matta dikatakan bakal mencipta sebuah lagu duet untuk mereka serta sebuah lagi lagu solo yang bakal dimuatkan dalam album sulung artis remaja berkenaan.

Simpan hasrat berduet dengan Siti

BERCERITA mengenai kerjasama, Sunu turut melahirkan keinginannya untuk berkolaborasi bersama penyanyi wanita nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza. Apatah lagi secara terangan Sunu mengaku, dialah peminat nombor satu artis popular berkenaan.

Bahkan pada acara persembahan Anugerah Planet Muzik yang baru berlalu, Sunu tidak melepaskan peluang menghulurkan mikrofon kepada Siti sebaik saja dia menyedari kehadiran penyanyi idolanya itu di barisan depan. Huluran spontan Sunu bersambut baik apabila Siti menyanyikan sebahagian rangkap korus lagu itu yang disambut tepukan peminat.

Ditanya mengenai tindakan `beraninya' berbuat demikian, sambil tersenyum Sunu berkata, dia yakin pada diri sendiri tatkala membuat keputusan menghalakan mikrofon kepada penyanyi tersohor itu.

"Sayalah peminat paling utama Siti. Saya cukup menyenangi suara dan lagunya. Idea meminta dia menyanyikan sedikit lagu Ketahuan itu datang secara spontan. Lalu saya amat gembira dan berbangga apabila Siti turut sama mengalunkan lagu itu," katanya.

Mengenai demam kumpulan muzik yang dialami peminat ketika ini, pemain gitarnya, Dicky berasakan, bukan mereka yang menentukan sama ada dunia muzik itu dikuasai artis berkumpulan atau sebaliknya. Pada hakikatnya, menurut jejaka ini, keadaan semasa pasaran yang banyak menentukan muzik atau artis mana yang kini disukai peminat.

"Apa yang mampu kami lakukan, hanyalah sentiasa berusaha untuk mempersembahkan sesuatu yang segar buat peminat supaya muzik kami terus diterima," katanya.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy