Headline: Lagu Hantaran Daripada Hati `hidupkan' Wadi Unung
Publication: BH
Date of publication: Aug 27, 2009
Section heading: Sentral
Page number: 024


NYANYIAN Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu Melawan Kesepian yang dipetik dari album Hantaran Daripada Hati sudah mampu membuatkan drama Wadi Unung yang sedang rancak disiarkan di Astro Prima sejak 5 Ogos lalu menambat perhatian ramai setiap kali ia disiarkan dari Isnin hingga Khamis.

Lagu itu asalnya dinyanyikan kumpulan dari seberang, Jikustik dan dicipta Pongky Barata yang turut menganggotai kumpulan terbabit. Tiada ragu, vokal Siti ternyata penuh emosi dan sedikit sebanyak menghidupkan perjalanan drama 26 episod arahan Raja Ahmad Alauddin dan diterbitkan oleh Sedania Corporation Sdn Bhd. Penerbitnya, Azrin Mohd Noor, dia menyifatkan keistimewaan drama ini lebih kepada plot yang ringkas tanpa perlu memeningkan kepala memikirkan sesuatu perkara.

Beliau tidak menafikan impak lagu nyanyian penyanyi popular itu meningkatkan populariti drama ini.

"Keistimewaan drama ini terarah kepada realiti kisah yang begitu dekat dengan kita. Malah, ia juga berorientasikan kekeluargaan. Ia mengenai kisah dua kawan baik yang cukup akrab seperti adik-beradik dan sebuah pondok diberi nama Wadi Unung menjadi saksi perjalanan sisi hidup mereka.

"Wadi Unung itu merujuk kepada sebuah teratak kecil di tepi tasik dan ia dijadikan sebagai tempat untuk melepak. Alor Setar, Perlis dan Australia dijadikan sebagai lokasi utama untuk penggambaran drama ini," katanya sewaktu ditemui Hip pada majlis menyambut kedatangan Ramadan di Restoran Lakeside Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, rating drama ini semakin meningkat dari hari ke hari dan mula menjadi pilihan penonton.

"Drama ini sebenarnya sudah dihantar ke Astro Prima sejak Disember tahun lalu memandangkan perancangan awal mahu menyiarkan awal tahun. Saya tidak menganggap siaran drama ini sebenarnya diperam, sebaliknya hanya menunggu waktu siaran yang sesuai. Lalu, oleh kerana ia menerapkan unsur keinsafan, maka sesuai disiarkan ketika ini," kata Nizam

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy