Headline: Bukti kehebatan artis kita
Publication: HM
Date of publication: Jul 21, 2009
Section heading: Rentak Artis Popular
Page number: 010
Byline / Author: Oleh Norhadiani Baharom


BUKANLAH sesuatu yang menghairankan jika Datuk Siti Nurhaliza, 30, terus berjaya mempertahankan trofi kategori Artis Wanita Paling Popular sembilan tahun berturut-turut yang dipertandingkan dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2009.

Dia istimewa, menawan, berbakat besar dan berbudi pekerti, yang semua ciri-ciri ini sukar didapati dalam diri seseorang bertaraf diva yang selalunya dikaitkan dengan sifat `angkuh'.

Betapa berpengaruhnya insan bernama Siti Nurhaliza sehingga membentuk pemikiran baru dalam industri muzik Indonesia.

Mungkin ramai yang tidak tahu, sebelum Siti bertapak di republik itu pada 1997 dengan menyandarkan lagu popularnya Aku Cinta Padamu, industri hiburan Indonesia mengalami pembentukan muzik dangdut yang mengeksploitasi maruah serta tubuh penyanyi wanita melalui gaya cukup sensual dan erotik.

Hal ini ternyata tidak disenangi ulama di negara itu tambahan pula rata-rata penghibur berkenaan wanita Islam yang seharusnya menjaga penampilan.

Hadirnya Siti dengan imej sopan, cantik dan berbakat, terus mengalih tumpuan penggemar muzik terhadapnya sekali gus menaikkan semula darjat penyanyi wanita.

Pada APM 2009, wanita kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini turut melakar kejayaan berganda apabila menjadi penerima sulung Anugerah Artis Serantau Paling Popular yang pertama kali diperkenalkan dalam acara itu.

Sekali gus, mengetepikan calon hebat dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura iaitu Agnes Monica, Aliff Aziz, Faizal Tahir, Nidji, Hujan, Meet Uncle Hussain, Hardy Mirza dan Taufik Batishah.

"Menang atau kalau bukanlah lagi sesuatu yang harus saya fikirkan kerana percaya hidup ini tidak selamanya di atas apatah lagi dunia seni yang silih berganti dengan bakat baru.

"Namun, saya bersyukur dan tidak menyangka sehingga kini masih menerima sokongan peminat sama ada dari Malaysia, Indonesia mahupun Singapura.

Terima kasih kerana tidak pernah jemu-jemu mengundi. "Kejayaan ini lambang semangat peminat yang menjadi faktor kekuatan dan inspirasi kepada saya untuk terus menghasilkan karya bermutu selain terus bersemangat mengharungi cabaran anak seni," katanya.

Trofi kemenangan untuk Malaysia turut disumbangkan dua penyanyi muda berbakat besar, Aizat Amdan dan Ayu Damit.

Aizat yang dicungkil bakatnya menerusi program Akademi Fantasia 5 (AF5) diumumkan pemenang kategori Vokal Terbaik Dalam Lagu bagi kategori lelaki.

Sementara Ayu selaku juara One In A Million 3 (OIAM3), menguasai kategori wanita pada anugerah yang dilangsungkan di Jakarta Convention Centre (JCC), Jakarta, Sabtu lalu.

Kategori Lagu Paling Popular Malaysia yang dimuat turun turut menyebelahi Aizat apabila lagu berhantu dendangannya, Hanya Kau Yang Mampu menjadi pilihan.

Sama seperti Siti, Aizat juga turut membolot satu lagi anugerah, Lagu Paling Popular Malaysia yang dinilai berdasarkan jumlah muat turun tertinggi.

"Alhamdulillah, Aizat bersyukur kerana usaha dan kerja keras selama ini mula mendapat perhatian ramai.

"Saya sebenarnya tidak menyangka langsung menang kategori Vokal Lelaki Terbaik. Mana tidaknya ia mempertandingkan peserta dari tiga negara. Tentu saja ada calon yang lebih hebat misalnya dari Indonesia yang kita sedia maklum kehebatan artis mereka.

"Bagaimanapun, terima kasih kepada juri yang memilih saya.

Diharapkan, saya mampu mengembangkan karier nyanyian di Indonesia bertitik tolak daripada kejayaan malam ini," katanya.

Sementara Ayu pula menganggap kejayaan itu, adalah bukti kepada sesetengah pihak yang memandang rendah bakatnya hanya kerana kekurangan dari segi paras rupa.

"Saya macam tidak percaya dan hendak menangis dengan penganugerahan ini. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki di Indonesia menjayakan APM 2009 dan tidak sangka sama sekali mengukir kejayaan.

"Terima kasih kepada juri profesional kerana memilih saya dengan mengetepikan faktor lain sebaliknya, menilai saya sepenuhnya kerana bakat.

"Saya menganggap kejayaan ini hadiah paling istimewa pernah saya peroleh pada hari lahir saya ke-20 tidak lama lagi," katanya.

APM kali ini turut memberi peluang kepada ramai artis tempatan, Stacy, Faizal Tahir, Aizat, kumpulan Hujan membuat persembahan.

Sebanyak 18 anugerah diperkenalkan merangkumi kategori terbaik, popular dan khas.

Kumpulan Kotak yang cukup popular dengan lagu Beraksi dan Masih Cinta menang Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Duo/Berkumpulan Baru Terbaik), Bete (Dewiq menampilkan Ipank) mengungguli kategori Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu, Bunga Cinta Lestari (Artis Wanita Terbaik) Yovie & Nuno (Duo/Kumpulan Terbaik), Afgan (Artis Lelaki Terbaik) dan Album Terbaik. Manakala Laskar Pelangi dendangan Dewa 19 muncul Lagu Terbaik.

Sementara bagi kategori popular pula, Taufik Batisah muncul penerima anugerah Artis Singapura Paling Popular, Yuvie & Nuno (Artis Indonesia Paling Popular), Impianku nyanyian Didicazly dipilih sebagai Lagu Paling Popular Singapura, Hanya Kau Yang Mampu, Aizat (Lagu Paling Popular Malaysia), Kul Cinta, Slank (Lagu Paling Popular Indonesia).

Bagi kategori Anugerah Khas, Gigi popular dengan lagu Nakal membawa pulang trofi Anugerah Khas Planet Muzik dan Anugerah Cinta pula dimenangi Dik Doank.

Secara keseluruhan, penganjuran APM 2009 tetap meriah meskipun sehari sebelumnya penyelenggaraannya nyaris terganggu dengan insiden pengeboman yang berlaku di Hotel JW Marriott dan Ritz Carlton.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy