Headline: Malam penuh bermakna
Publication: HM
Date of publication: Mar 27, 2013
Section heading: Rentak Artis Popular
Page number: 006
Byline / Author: Oleh Norhadiani Baharom


Karya nukilannya menusuk jiwa, menembusi perasaan tidak kira apapun latar belakang penggemarnya. Beliau pernah terbabit dalam pembikinan album penyanyi ternama seperti Michael Jackson dan Whitney Houston, Madonna, Bobby Brown, Diana Ross, Eric Clapton, Celine Dion, Janet Jackson dan Beyonce Knowles.

Itulah kehebatan Kenneth Brian Edmonds, 54, atau lebih dikenali dengan nama Babyface, komposer dan penyanyi hebat yang sudah terbukti dengan kemenangan 10 kali pada Anugerah Grammy.

Percaya atau tidak selama 38 tahun pembabitannya dalam bidang muzik, belum pernah sekalipun dia berpeluang menghiburkan tetamu diraja.

Pada Khamis lalu, peluang itu tiba. Menariknya, Babyface menghiburkan tetamu diraja negara ini iaitu Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah di Hotel Majestic, Kuala Lumpur sempena Malam Gala Sapura Kencana Petroleum Malaysia Grand Prix Charity 2013.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah.

"Saya berbesar hati berada di sini dengan kehadiran tetamu diraja Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong. Selama bergelar penyanyi dan pemuzik, saya membuat persembahan di banyak tempat tetapi inilah kali pertama saya berpeluang membuat persembahan di hadapan tetamu diraja.

"Ini satu penghormatan yang cukup besar buat saya dan apabila saya dimaklumkan, semalam barisan tetamu kenamaan yang hadir pada majlis ini, saya berjanji untuk memberikan persembahan terbaik," kata Babyface.

Persembahan selama satu jam oleh penghibur yang dilahirkan pada 10 April 1959 di Indianapolis, Amerika Syarikat, itu dirasakan hanya sekejap.

Ini kerana Babyface memukau penonton dengan lagu-lagu hitnya yang menggetarkan kalbu, sekali gus mengimbau kenangan yang pernah dilalui sebahagian besar tetamu pada malam itu.

Antara rangkaian lagu disampaikan malam itu tidak terbatas pada lagu hit nyanyiannya saja, ada juga hasil karya agungnya buat penyanyi antarabangsa lain termasuk petikan lagu-lagu saduran penghibur ternama antaranya Cool In You, Everytime I Close My Eyes, Whip Appeal, Wonderful Tonite, Moon River dan Fly Me To The Moon.

Medley yang didendangkan Babyface termasuk Two Occasions, Don't Be Cruel, Every Little Step, Rock With You, Tenderoni, Can We Talk, My My My, I'll Make Love To You, End Of The The Road, When I See You dan Change The World.

Tidak sendirian di pentas, pada awal persembahannya yang bermula kira- kira jam 10 malam itu, turut menampilkan Datuk Siti Nurhaliza yang berkolaborasi dengannya menerusi lagu, When I Fall In Love, diikuti lagu Fire.

"Wow nice voice! Lihat anda mempunyai penyanyi yang cukup hebat. Berikan tepukan sekali lagi kepada Siti," kata Babyface berulang kali memuji Siti yang muncul sebagai pasangan duetnya malam itu.

Pujian ikhlas itu diberikan Babyface sebaik saja selesai mendendangkan lagu duet pertama mereka, When I Fall In Love, sebelum meneruskan acara dengan lagu Fire.

Siti yang kelihatan anggun dengan persalinan rekaan Rizman Ruzaini dan solekan, Najeeb, menyifatkan peluang berduet bersama penyanyi dan komposer terkenal itu satu pengalaman yang cukup istimewa.

"Keterujaan saya sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata apabila berpeluang berduet dengan Babyface. Semestinya amat gembira kerana seperti yang umum tahu beliau seorang komposer, penyanyi dan pemuzik yang sangat disegani.

"Lebih-lebih lagi ketika zaman sekolah dulu saya sering mendengar lagu-lagu Babyface dan sekarang saya berpeluang berpadu suara dengannya," katanya.

Melanjutkan perbualan, Siti hanya dimaklumkan pihak penganjur mengenai kolaborasi berkenaan lebih kurang dua minggu sebelum acara itu dilangsungkan kerana menunggu keputusan daripada Babyface sendiri.

"Sebelum kolaborasi ini dibuat, penganjur mencadangkan beberapa nama termasuk nama saya kepada Babyface. Bagaimanapun, mereka mahu mengambil sedikit masa untuk melihat latar belakang barisan penyanyi berkenaan.

"Alhamdulillah, nampaknya selepas menilai sendiri profil saya, Babyface bersetuju untuk berduet bersama dengan saya," katanya.

Memperuntukkan masa selama lima hari untuk berlatih dua lagu berkenaan, pada peringkat awal terdapat satu lagu lain yang sepatutnya dinyanyikan bersama iaitu Everytime I Close My Eyes dan Fire, bagaimanapun ditukar kepada When I Fall In Love.

"Dia mahu mendendangkan lagu Everytime I Close My Eyes secara solo untuk malam itu, justeru wajar saya menghormati keputusannya. Tiada sebarang masalah dihadapi sebaik pertukaran itu dilakukan kerana lagu When I Fall In Love, juga salah satu lagu kegemaran saya," katanya.

Pernah berduet dengan Gareth Gates, Lee-Hom Wang dan Sean Kingston, Siti sebenarnya agak terkilan kerana tidak dapat menyerahkan cakera padat lagu-lagunya kepada Babyface.

Majlis gala amal yang dianjurkan sempena Grand Prix Formula 1 Malaysia itu berjaya mengutip RM200,000 untuk membantu Institut Jantung Negara (IJN).

Acara malam penuh gemilang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran bintang Hollywood, Teri Hatcher, Josh Hartnett, Datuk Michelle Yeoh dan Kimora Lee Simmons termasuk artis tempatan seperti Datuk Sheila Majid, Datin Seri Tiara Jacquelina, Marion Caunter dan Joe Flizzow.

Turut hadir, dua pelumba Formula 1 daripada pasukan Mercedes iaitu Lewis Hamilton serta Nico Rosberg.





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy