Headline: Babyface puji suara gemersik Siti
Publication: BH
Date of publication: Mar 25, 2013
Section heading: Hip
Page number: 006
Byline / Author: Oleh Hanisah Selamat


PUJIAN ikhlas diluahkan komposer merangkap penyanyi tersohor, Kenneth Brian Babyface Edmonds atau Babyface, terhadap kelunakan suara Datuk Siti Nurhaliza usai mereka berpadu suara mendendangkan lagu When I Fall In Love dan Fire.

"Berikan tepukan sekali lagi kepadanya (Siti). Dia mempunyai suara yang lunak. Anda mempunyai bakat yang hebat di sini," katanya merujuk kepada Siti yang anggun mengenakan persalinan rona gelap.

Dewan Perdana Hotel Majestic Kuala Lumpur menjadi saksi paduan hebat penghibur kebanggaan negara yang dipilih sendiri pemenang 10 anugerah Grammy itu untuk berkongsi pentas dengannya pada malam Gala Amal Grand Prix Sapura kencana Petroleum Malaysia 2013, Khamis lalu.

Pandangan itu tentu saja dipersetujui kira-kira 600 tetamu yang turut berasakan getarannya tatkala Siti melayangkan vokal emas terutama menerusi lagu Fire, nyanyian duet asal Babyface bersama Des'ree.

Lebih hangat apabila dewan yang dihias indah dilengkapi skrin LED di sekelilingnya malah paparan api kemerahan yang ditonjolkan sebaik Fire berkumandang sekaligus membangkitkan lagi keterujaan ramai.

Buai perasaan penonton

Selain dua lagu duet, artis lelaki berusia 53 tahun itu tidak ketinggalan menyampaikan rangkaian lagu hitsnya serta medley garapan nukilan popular yang dibawakan artis lain.

Bagai dilarikan dalam terowong masa, emosi pendengar dibuai alunan merdu penyanyi yang sememangnya terkenal sebagai pencipta lagu romantis, apatah lagi buat mereka yang membesar dengan dendangannya.

Menyampaikan hits Bobby Brown yang menjadi siulan sekitar 1989, Don't Be Cruel, Every Little Step dan I Wanna Rock With You, sorakan terus bergema sebaik dia menyatakan lagu Boyz II Men bakal menyusul selepas itu.

Menyingkap sedikit portfolio, nama Babyface cukup besar dan menjadi penerbit penyanyi ternama termasuk Bobby, Boyz II Men, Paula Abdul, Usher, Toni Braxton, Mary J Blige, Chaka Khan, Aretha Franklin, Madonna, Janet Jackson, Beyonce, Diana Ross, Michael Jackson, Michael Bolton, Pebbles, Whitney Houston, Mariah Carey dan ramai lagi.

Siapa yang tidak mahu mengikuti alunan gemersik vokalnya apatah lagi ketika menyampaikan lagu yang dipopularkan Boys II Men terutama End of The Road malah teriakan jelas kedengaran sebaik dia turun ke pentas bersalaman dengan penonton.

Bangga hiburkan ketua negara

Bagai tidak puas menghayati bait lagu dipersembahkan, sebahagian besar tetamu seakan enggan meninggalkan dewan walaupun penyanyi itu sudah memaklumkan ia pilihan terakhirnya malam itu.

Terdahulu, pada persembahan pembukaan dia membawa nostalgia penonton ke era 1950an bersama lagu Moonriver yang didedikasikan khusus buat Tuanku Permaisuri serta ibunya sendiri.

Akui Babyface sebelum memanaskan acara, walaupun kali kedua menghiburkan peminat di Kuala Lumpur, persembahan pada malam gala terbabit dianggap sebagai penghormatan buatnya apabila diberi peluang menghiburkan ketua negara.

Majlis gala amal, yang dianjurkan bersempena sukan Formula Satu di ibu negara itu, mengutip dana sebanyak RM200,000 untuk disalurkan kepada Institut Jantung Negara (IJN).

Majlis berkenaan dihadiri tetamu kehormat, Yang diPertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu`adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah Hamidun, selain isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta mantan PerdanaMenteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali.

Diterbangkan khas pula ialah aktres, Datuk Michelle Yeoh, supermodel, Kimora Lee Simmons, aktor popular, Josh Hartnett, bintang Desperate Housewives, Teri Hatcher, serta vokalis Earth Wind & Fire, Ralph Johnson





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy